fbpx
Nasional

Ahmad Maslan dijamin RM500,000, serah pasport antarabangsa pada mahkamah

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani [email protected] agar Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan diikat jamin sebanyak RM1 juta.

Wang jaminan yang tinggi itu katanya perlu dibayar oleh tertuduh atas dasar keseriusan kes yang didakwa terhadap Ahmad dan mengambilkira penerimaan masyarakat terhadap sistem keadilan negara.

Ahmad berhadapan dengan dua pertuduhan iaitu tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai taksiran 2013 dan pertuduhan kedua, memberi keterangan palsu terhadap pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan cek tunai berjumlah RM2 juta.

Ahmad diwakili oleh barisan peguam dengan diketuai oleh Hamidi Mohd. Nor, memaklumkan kepada mahkamah, kepentingan anak guamnya juga perlu diambilkira.


Hakim Azman Ahmad ketika membuat keputusan setelah mendengar kenyataan kedua-dua pihak, bersetuju mengurangkan wang jaminan kepada RM500,000 beserta dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa Ahmad diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sehingga kini Ahmad masih menunggu wang jaminan dibayar kepada mahkamah. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button