Politik

Ahmad Maslan beri bayangan syarat KWSP, moratorium BN diterima

MENJELANG hari mengundi Belanjawan 2021 esok, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bertemu dengan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk di Dewan Rakyat.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kasim dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, dalam pertemuan itu syarat penting BN untuk meluluskan Belanjawan 2021 iaitu lanjutan moratorium dan pengeluaran Akuan 1 KWSP turut dibincangkan.

Dalam ciapan di Twitter, Ahmad beri bayangan syarat yang dikemukakan BN akan diterima.

“Pertemuan dgn Menteri @tzafrul_aziz di #DewanRakyat 25/11/20. #Moratorium bayaran pinjaman & #KWSP akaun 1 tentu dibincang.

“Kita tunggu pengumuman beliau Khamis 26/11/20. Moga ada berita baik,” ciap Ahmad.

Barisan Nasional (BN) meletakkan sokongan bersyarat terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dengan menuntut kerajaan meneruskan pemberian moratorium pinjaman secara automatik dan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menyatakan perkara itu, Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang berbahas bagi pihak BN pada 10 November lalu berkata, lanjutan moratorium pinjaman secara automatik perlu diberikan sehingga 30 Jun 2021.

“Perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat kepada belanjawan ini akan menjadi lebih mantap dan menyeluruh.

“Saya yakin dan percaya keputusan untuk menerima dua cadangan utama yakni moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 dan kelulusan untuk pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara sekali bayar (one-off) akan membawa kepada kepuasan rakyat yang lebih tinggi terhadap kerajaan,” katanya.

Najib berkata pengeluaran secara tidak bersasar KWSP dan lanjutan secara automatik moratorium pinjaman secara automatik adalah langkah menyuntik dana terus ke tangan rakyat.

Beliau juga berkata pengeluaran simpanan KWSP itu juga boleh diuruskan semula pada masa depan ini dengan penstrukturan semula caruman untuk tidak membebankan agensi berkenaan.

Barisan Nasional satu-satunya rakan dalam Perikatan Nasional yang meletakkan syarat bagi menyokong Belanjawan 2021 yang akan digulung oleh Tengku Zafrul esok.

Ketika ini parti pembangkang Pejuang dan Amanah secara terbuka menolak Belanjawan 2021.-SM

 

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button