Rencana

Annuar Musa tali barut Bersatu?

SAYA tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tan Sri Annuar Musa. Bukan kerana saya anti atau benci akan beliau, tetapi kami tidak pernah bersemuka.

Saya hanya mendengar dan membaca naratif yang dibawa tentang bagaimana beliau merupakan tali barut kepada Bersatu untuk meruntuhkan UMNO dari dalam.

Kemuncaknya apabila saya menulis 10 sebab mengapa Annuar Musa perlu dipecat dari UMNO setelah saya berasa tidak selesa dengan kenyataan beliau yang terlalu menyebelahi Bersatu.

Sebagai wartawan yang lama bekerja dengan Utusan Malaysia dan banyak berurusan dengan UMNO saya sedikit sebanyak marah apabila terdapat usaha untuk menanam parti keramat orang Melayu itu secara hidup-hidup.

Selepas itu saya dibawa untuk bertemu dengan Annuar dalam majlis makan malam bagi mendengar penjelasannya.

Ketika itu saya bertemu pegawai media beliau Datuk Tun Faisal Ismail yang merupakan kawan lama saya.

Daripada penjelasan Annuar saya faham beliau telah dipinggir daripada partinya sendiri dan banyak maklumat dalaman yang tidak diketahuinya berbanding saya seorang wartawan, apatah lagi para pemimpin utama parti, sejak beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO.

Saya terus menghentam beliau di dalam tulisan saya kerana penjelasan yang diberikan tidak cukup bagi saya untuk menghalalkan tindakan beliau.

Setelah itu saya dijemput untuk menghadiri diskusi dalam kumpulan yang lebih kecil dan mendengar penjelasan beliau.

Dalam beberapa pertemuan saya lebih banyak mendengar dan membuat pemerhatian.

Setiap penjelasan beliau saya bandingkan dengan fakta dan naratif dalaman UMNO seperti berkaitan pilihan raya negeri Sabah dan banyak lagi isu.

Memang jelas beliau menjadi mangsa fitnah dan Annuar merupakan seorang pemimpin yang cerdik dan cerdas serta mempunyai visi yang jelas iaitu untuk perpaduan orang Melayu.

Atas kerjasama beliau dengan Bersatu yang akhirnya membawa kepada UMNO kembali berkuasa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menjawat jawatan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saya boleh sahkan ia merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Annuar bagi memastikan politik tanah air terus stabil dan negara diperintah oleh orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Ia penting selepas melihat bagaimana negara ini menjadi huru-hara ketika Pakatan Harapan yang memerintah selama 22 bulan di mana mereka begitu ghairah untuk menghapuskan segala kelebihan yang diberikan kepada kaum Melayu dan bumiputera.

Jika tidak kerana usaha Annuar negara ini telah kembali kepada pemerintahan Pakatan Harapan yang ditunjangi oleh DAP setelah pemerintahan Muhyiddin mulai goyah.

Tidak lama lagi Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung dan Annuar harus kembali di dalam barisan kepimpinan parti supaya UMNO dapat bergerak ke hadapan yang tidak terus terbeban dengan legasi pemimpin yang terlalu memikirkan kepentingan peribadi berbanding parti.

Cukuplah UMNO tewas pada pilihan raya lalu kerana bebanan kepentingan peribadi yang dilonggok ke atas parti.

Parti digunakan bagi mencuci kotoran dan daki peribadi. Akhirnya parti terkorban dan ahli-ahli UMNO menderita dan orang Melayu keseluruhannya nyaris merempat di bumi sendiri.

(Visited 543 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button