Rencah Hidup

PTTI lancar aplikasi pembelajaran dalam talian SPM

Anggota kumpulan K-Clique, MK berbangga kerana pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI melangkah bergaya apabila mempunyai aplikasi pembelajaran khas atas talian sendiri.

MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin selaku duta dan ikon jenama berkenaan dalam masa sama mencemburui nikmat bakal diraih pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi pembangunan aplikasi terbabit.

MK berkata demikian sejurus berakhir majlis pelancaran virtual aplikasi terbabit berlangsung tengah hari tadi (7 Ogos) di studio Hitman Group di Shah Alam.

Aplikasi yang mencipta sejarah baru buat PTTI itu dirasmikan mentor usahawan terkenal Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Selain MK, artis popular seperti Zizan Razak, Nabila Razali, Iman Troye dan Tya Arifin turut hadir memeriahkan majlis secara virtual.

“Pelajar SPM zaman sekarang boleh saya katakan cukup beruntung kerana kehadiran aplikasi pembelajaran khas ini menjadi medium terbaik untuk memudahkan proses mencari dan menambah ilmu.

“Tambah pula dalam keadaan di mana kita sedang membiasakan corak menuntut ilmu atas talian secara total kerana situasi semasa pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

“Bagi saya juga, corak pembelajaran dulu dan sekarang pasti ada beza. Kita sentiasa bergerak mengikut perubahan zaman dan arus semasa. Jujur memang saya sedikit mencemburui pelajar SPM saat ini kerana mereka boleh belajar dan mengakses ilmu bila bila masa dan di mana saja dengan aplikasi ini,” katanya yang dilantik menjadi duta PTTI sejak Februari lalu menggantikan Mira Filzah.

MK yang pernah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang didudukinya pada 2013 memuji usaha PTTI dengan menghadirkan aplikasi berkenaan.

“Apa yang saya lihat dan boleh rumuskan aplikasi pembelajaran khas atas talian ini sangat ke depan. Ia seiring dengan norma baharu kita lalui sekarang di era pandemik.

“Saya yakin aplikasi ini akan jadi sesuatu yang sangat membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

“Dengan ciri antara muka pengguna yang menari serta ‘mesra’ ia mampu menarik minat pelajar untuk memahami input yang dikongsi. Guru di PTTI juga boleh mengajar dengan interaktif sekali gus memudahkan proses penerimaan ilmu untuk pelajar. Terbukti selama ini pelajar yang dibantu PTTI berjaya mendapat keputusan cemerlang dan membanggakan,” katanya

Untuk rekod MK mendapat 5A dan 3B dalam SPM. MK juga pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2012 hingga 2015.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata mereka tidak boleh terkebelakang dalam hal pendidikan.

“Aplikasi pembelajaran atas talian ini dibangunkan staf PTTI sendiri sejak akhir tahun lalu. Kita berasakan selepas lebih lima tahun memacu dunia pendidikan terutama untuk calon SPM termasuk situasi tak terduga pandemik ini, perlu ada alternatif baru belajar yang tak terduga.

“Justeru lahirlah idea aplikasi ini. Kita juga mahu meneruskan kelangsungan membantu lebih ramai lagi pelajar SPM meningkatkan gred dan keputusan cemerlang secara atas talian,” katanya.

Tambah Cikgu Fana lagi, aplikasi terbabit dilancarkan sebagai usaha untuk mewujudkan ruang pembelajaran khas bagi pelajar SPM.

Cikgu Fana dan MK

“Kita yakini aplikasi ini mampu terus mencakna perubahan iklim pembelajaran semasa saat ini.

“Pelajar SPM juga boleh belajar secara atas talian menerusi aplikasi terbabit. Malah mereka juga dapat menonton ratusan video ulang tahun teknik dan skil belajar secara percuma,” katanya.

Menerusi pelancaran aplikasi itu juga pelajar SPM boleh melayari aplikasi www.MampuSkorSPM.com untuk memuat naiknya secara percuma.

“Pelajar juga boleh memuat turun aplikasi ini sama ada di App Store untuk pengguna Iphone atau Playstore (android).

“Ini masanya untuk pelajar SPM terutama calon peperiksaan itu mengakses ilmu dan dapat belajar percuma dengan aplikasi ini tak kira di mana saja anda berada,” katanya.

Ketika majlis berlangsung selain video perasmian aplikasi itu ditayangkan, penerangan mengenai ciri ciri yang dibina dalam aplikasi turut dilakukan.

Pada acara sama, MK serta artis lain turut berkongsi pandangan dan pujian mengenai muat turun dan penggunaan aplikasi terbabit. -SM

(Visited 434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button