Nasional

Bilangan kes Covid-19 terus meroket, dua kluster baharu

BILANGAN kes jangkitan Covid-19 terus naik meroket dengan 23 kes baharu telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19  turut meningkat kepada 167 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham, enam kes adalah kes import yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Enam kes import tersebut adalah dari negara Singapura sebanyak 3 kes), Indonesia 1 kes dan Filipina 1 kes.

Sementara 17 kes  baharu merupakan penularan di dalam negara melibatkan warganegara 10 kes dan bukan warganegara tujuh kes.

Kes jangkitan dalam kalangan bukan warganegara melibatkan satu kes di Kuala Lumpur, Selangor (2) dan Johor (4). Manakala bagi kalangan warganegara melibatkan dua kes di Johor dan lapan kes di Sarawak

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes,” kata Dr. Noor Hisham.

Sementara itu dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Bukit Tiram di Johor dan Kluster Syarikat Pembinaan di Kuching.

Kluster Bukit Tiram dikenalpasti apabila terdapat dua kes positif yang telah dilaporkan di sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor.

“Kedua-dua kes positif (iaitu kes ke-8868 dan kes ke-8869) yang dikesan dalam kluster ini merupakan bukan warganegara yang menetap di Malaysia dan merupakan kakitangan pusat tersebut.

“Kedua-dua kes positif ini telah mula mengalami gejala pada 15 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan. Kemudiannya mereka telah membuat saringan COVID-19 dan dikesan positif pada 24 Julai 2020,” kata Dr. Noor Hisham.

Sehingga 25 Julai terdapat dua kes positif dan 10 orang kontak rapat telah dikenalpasti dalam kluster ini.

Semua 10 orang kontak rapat telah disaring dan masih menunggu keputusan. Siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif  sedang diteruskan. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan.

Sementara kes pertama Kluster Syarikat Pembinaan di Kuching merupakan kes positif Covid-19 yang telah dikesan pada 11 Julai 2020 (iaitu kes ke-8715).

“Melalui siasatan yang telah dijalankan, sebanyak 55 kontak rapat telah dikenalpasti yang terdiri daripada lima rakan serumah dan 50 rakan sekerja. Kesemua kontak ini telah disaring dan didapati negatif Covid-19.

“Kluster ini telah dikenalpasti apabila satu kes positif (iaitu kes ke-8881) telah dikesan daripada saringan ulangan kontak-kontak rapat kes ke-8715. Aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan. Punca jangkitan kluster adalah masih di dalam siasatan,” kata Dr. Noor Hisham.-SM

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button