fbpx
Berita

Ahli Pas Kedah diseru jadi mata dan telinga kawal pencemaran alam sekitar

Ahli-ahli Pas di negeri Kedah diseru menjadi mata dan telinga bagi membantu melaporkan sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan berlaku pencemaran alam sekitar di kawasan masing-masing.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, ahli-ahli Pas perlu peka dan sensetif terhadap tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab membuang dan membakar e-sisa secara haram sehingga berlaku pencemaran udara serta mengancam kesihatan penduduk.

Menurutnya, mereka yang terserempak dengan kumpulan terbabit boleh melaporkan segera kepada kepimpinan Pas di peringkat cawangan sebelum dipanjangkan ke peringkat bahagian dan negeri atau menghubungi agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Tindakan pantas ahli-ahli Pas penting untuk membolehkan tindakan segera diambil untuk mengekang perbuatan jahat itu daripada terus berleluasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau operasi pemadaman kebakaran di Tapak Pembuangan Sampah Semeling, Merbok.


Jumlah ahli Pas di Kedah adalah kira-kira 170,000 daripada 1,300 cawangan.

Selain itu, Ahmad memberitahu, beliau difahamkan negeri Kedah kini merupakan antara negeri yang menjadi longgakan sampah yang diimport dari luar negara sejak kebelakangan ini.

Katanya, masalah tersebut berlaku apabila semakin banyak kilang plastik beroperasi secara haram di negeri ini.

“Pas meminta pihak berkuasa tempatan melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang plastik yang didapati beroperasi secara haram,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Kedah berkata, kebakaran tersebut dilaporkan berlaku pada 22 Januari lalu melibatkan kawasan seluas 14 hektar.

Setakat ini, pasukan bomba dan penyelamat telah berjaya memadam kebakaran seluas kira-kira 10 hektar manakala kawasan yang masih terbakar dianggarkan kira-kira 0.45 hektar dan masih berasap pula 3 hektar.

Show More

Related Articles

Back to top button