fbpx
Politik

Ahli Parlimen Wangsa Maju dirakam ‘mengejek’ ke arah kumpulan peniaga

VIDEO seorang ahli Parlimen kerajaan dirakam menjelirkan lidah ke arah sekumpulan orang yang dipercayai peniaga ‘uptown’ Danau Kota di ibu negara menjadi tular di media sosial.

Ahli Parlimen tersebut Datuk Dr. Tan Yee Kew dari Parlimen Wangsa Maju dirakam mengejek kepada kumpulan berkenaan dari dalam keretanya apabila kumpulan tersebut dipercayai meluahkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin PKR terbabit.

Dalam video berdurasi 1.01 minit itu Yee Kew dikawal ketat oleh beberapa orang daripada dihampiri kumpulan peniaga yang dipercayai marah dengan isu harga tapak Bazaria Wangsa Maju.

Dalam rakaman itu, kumpulan peniaga tersebut dilihat terus mengekori Yee Kew yang berjalan kaki menuju ke arah keretanya yang sedia menunggu tidak jauh dari situ.

Kumpulan peniaga tersebut kedengaran berkata dengan lantang,”Kau yang jual tapak tu. Kau yang jual tapak kau. Hey, rakyat undi you tau. Rakyat undi you. Peniaga mengundi you tau. Sikit-sikit pakai polis ya.”


Sebelum masuk ke dalam keretanya, Yee Kew berhenti sebentar dan kedengaran berkata,” Saya ambil gambar semua. Saya tak ada takut.”   Namun kumpulan tersebut tidak memberi peluang kepada Yee Kew untuk bercakap.

Mereka memotong percakapan Yee Kew dengan suara yang agak menjerit ke arah Ahli Parlimen Wangsa Maju itu, “11 tahun meniaga Danau Kota. Datuk YB jangan mengada-gada. Satu penggal sahaja.”

Setelah memasuki kenderaan dan bergerak, rakaman video menunjukkan Yee Kew seolah-olah mengejek ke arah kumpulan peniaga yang berang itu.

Video tersebut turut dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook beliau. “MP siapa ni? Parti mana? Perangai memang macam ini ke? Satu penghinaan kepada rakyat,” kata Najib.

Sementara itu, Yee Kew dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, beliau telah meneliti video yang ditularkan itu. Beliau mendakwa bantahan itu dilakukan oleh kumpulan NGO Ikhlas serta sindiket dan kroni UMNO yang sudah hilang pendapatan daripada kutipan penjaja.

“Semua penjaja yang dibanci itu diberikan lesen untuk berniaga di Bazaria. Mereka tidak perlu lagi membayar sewa yang tinggi kepada sindiket dan kroni-kroni UMNO. Mereka semua gembira dan sudah hampir satu bulan berpindah ke Bazaria.

“Yang mengamuk adalah sindiket-sindiket dan kroni-kroni UMNO yang sudah hilang pendapatan daripada kutipan penjaja,” kata Yee Kew.

Yee Kew berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya dan mungkin akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Pengerusi Ikhlas, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah yang menurutnya telah membuat tuduhan palsu, rasis dan bersifat hasutan terhadap dirinya dalam insiden terbabit.

Sementara itu Yee Kew berkata, satu persatuan terdiri daripada penjaja Bazaria telah ditubuhkan untuk menjaga kepentingan penjaja di situ.

Status mereka telah disahkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan akan mewakili penjaja terbabit dalam sebarang urusan di Bazaria.

“Mereka mampu menjaga kepentingan mereka dan tidak memerlukan orang luar untuk mewakili mereka,” kata Yee Kew yang tidak langsung menyentuh sama ada perbuatan beliau yang kelihatan menjelirkan lidah itu merupakan tindakan mengejek ke arah kumpulan terbabit atau tidak. -SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button