Nasional

Inisiatif institusi perbankan bakal rancakkan pelancongan – Raja Muda Perlis

Pelbagai inisiatif industri perbankan dilihat mampu membantu merancakkan lagi sektor pelancongan domestik yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah meninjau pelaksanaan program ‘Perlis Bersih Indah’ anjuran Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri dan rakan strategik industri perbankan yang beroperasi di negeri Perlis yang dilaksanakan di Taman Agrovet Perlis di Kok Mak Padang Besar semalam.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pegawai Kewangan Negeri Nasaruddin Abdul Mutalib, Bendahari Negeri Ahmad Irwan Baharuddin serta Pengarah JPV Negeri, Dr. Zulkifli Ahmad.

Hadir sama mengiringi baginda berdua ke lokasi pelancongan popular yang menempatkan pelbagai jenis haiwan termasuklah kuda, ostrich, rusa dan sebagainya itu ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radzi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang sentiasa menekankan supaya ‘Rakyat Perlis Hidup Bersih’ bertitah, selain inisiatif dan insentif yang diumumkan oleh kerajaan dalam membantu sektor pelancongan seperti pelaksanaan moratorium, Tabung Khas Pelancongan dan sebagainya, pihak industri perbankan juga turut berkemampuan untuk memainkan peranannya dalam membantu merancakkan kembali pelancongan domestik negara.

“Walaupun industri pelancongan di seluruh dunia terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19, industri perbankan di negara ini dilihat berpotensi menyuburkan kembali sektor berkenaan seperti pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), program kewangan sosial seperti wakaf dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan sebagainya,” titah Tuanku Raja Muda.

Dalam hubungan itu, Mohd Nazim menambah bahawa pihak MAIPs sentiasa membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri perbankan dalam menerokai segmen kewangan sosial seperti wakaf dan sedekah demi manfaat masyarakat.

“Sebagai salah satu instrumen penting dalam membangunkan ekonomi ummah, wakaf tidak hanya terikat dengan konteks ibadah semata-mata bahkan melangkaui aspek lain termasuk industri pelancongan selagi ianya tidak terlibat dengan perkara yang dilarang oleh agama,” jelas beliau.

Dalam program CSR yang buat julung kalinya diadakan seumpama ini, lima buah bank yang beroperasi di negeri Perlis tampil mengambil bahagian iaitu Malayan Banking Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button