
Ahli Mystar CBP Kini Nikmati Diskaun Tiket Menara Taming Sari
CO-opbank Pertama (CBP) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan pengalaman pelanggan dengan memeterai kerjasama strategik bersama Menara Taming Sari, ikon pelancongan tersohor di negeri ini.
Melalui kolaborasi tersebut, ahli Kelab Mystar – iaitu individu berusia 18 tahun ke bawah yang memiliki Akaun Simpanan-i Salam Mystar di CBP – layak menikmati diskaun istimewa sebanyak 13 peratus untuk tiket masuk ke Menara Taming Sari.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha CBP untuk memberikan nilai tambah kepada lebih 10,000 pemegang akaun Mystar, selain mengukuhkan jaringan strategik dengan pihak yang berpengaruh dalam sektor pelancongan tempatan.
“Tawaran diskaun ini diharap mampu menarik lebih ramai ibu bapa untuk membuka akaun Mystar untuk anak-anak mereka. Selain diskaun, ahli Mystar turut berpeluang menyertai kem cuti sekolah serta menerima anugerah kecemerlangan akademik,” katanya.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CBP dan Menara Taming Sari diadakan hari ini, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Nur Azan Hassan, dan Ketua Jabatan Deposit Runcit CBP, Zalifah Ibrahim.
Tambah Khairil Anuar, kerjasama ini melambangkan usaha berterusan CBP dalam meneroka pendekatan kreatif dan berimpak tinggi demi memperluaskan capaian perkhidmatannya serta menjadikan produk CBP lebih mesra pelanggan.
“Kolaborasi ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada ahli Mystar, malah mampu memacu pertumbuhan keahlian baharu dan meningkatkan kesedaran tentang manfaat perbankan koperasi di Malaysia,” katanya lagi.