NasionalPendidikan

Keputusan SPM 2020 era Covid pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang berlangsung dalam era wabak penyakit Covid-19 merupakan pencapaian dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2016.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2020 sebentar tadi.

Mohd Radzi berkata, Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2020 juga terbaik berbanding tahun sebelumnya.

“Jika kita lihat Gred Purata Nasional (GPN) 2020 adalah pada 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Data ini menunjukkan bahawa pencapaian calon adalah lebih tinggi pada tahun 2020 berbanding pada 2019.

“Nilai lebih kecil adalah menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Jadi kalau 2019 nilainya 4.86 2020 nilaiannya 4.80 dan ini menunjukkan pencapaian tahun 2020 adalah meningkat.

“Jika kita lihat trend GPN dari 2016 ke 2020 pencapaian tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun,” kata beliau.

Beliau berkata, analisis tersebut berdasarkan calon yang mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam matapelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu matapelajaran.

Tambahnya pencapaian calon bandar dan luar bandar turut mencatatkan peningkatan. Bagaimanapun peningkatan pencapaian calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding pencapaian calon di bandar.

Mohd Radzi berkata, 43 matapelajaran menunjukkan peningkatan, 39 matapelajaran menunjukkan penurunan dan satu matapelajaran kekal.

Pada 2019 terdapat tiga mata pelajaran teras yang menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Moral.

Bagi tahun 2020 terdapat lima matapelajaran teras yang menunjukkan peningkatan iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

“Pada 2019 matapelajaran teras yang menunjukkan penurunan adalah Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam.

“Bagi tahun 2020 matapelajaran yang menunjukkan penurunan adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya.

Slip keputusan boleh diperolehi secara dalam talian bermula pada pukul 10 pagi myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my.

Slip keputusan rasmi SPM boleh dimuat turut dari myresult2.moe.gov.my. Sijil rasmi SPM akan diedarkan pada 10 Julai secara berperingkat.

Seramai 401,105 calon telah mendaftar bagi peperiksaan SPM 2020. Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan peperiksaan SPM 2020 ditunda beberapa kali.

Mengikut perancangan asal peperiksaan SPM 2020 dijadualkan pada 5 Oktober hingga 19 November 2020.

Bagaimanapun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020, peperiksaan tersebut telah ditunda sebanyak tiga kali.

Kali pertama ditunda ke 16 November hingga 7 Disember 2020, kemudian ditunda ke 6 Januari hingga 9 Februari 2021. Tarikh peperiksaan SPM 2020 dimuktamadkan pada 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

Calon yang disahkan positif Covid-19 atau dikuarantin, mereka dibenarkan untuk menduduki peperiksaan pada sesi kedua yang bermula pada 6 hingga 23 April 2021.-SM

(Visited 294 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button