Nasional

Kebocoran gas ammonia, pekerja dikejarkan ke hospital

Seorang pekerja kilang ais batu di Kuala Kedah dikejarkan ke hospital selepas pengsan dalam kejadian kebocoran gas ammonia di premis itu hari ini.

Mangsa berusia 40-an berjaya diselamatkan anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian di Batu 6, Jalan Kuala Kedah selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.18 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota penyelamat terhidu bau kuat gas dipercayai gas ammonia akibat kebocoran di kilang.

“Anggota penyelamat diarah memakai alat pernafasan dan membuka saluran hos untuk membuat ‘tirai air’ sebelum menghampiri premis berkenaan untuk mengesan punca kebocoran.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika anggota penyelamat sedang menyisir premis berkenaan,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dikenali sebagai Maryudi Md Kassim, 43, diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

Sementara itu, Ketua Balai Gerakan Bomba Negeri Zamani Ismail berkata operasi kawalan keselamatan telah selesai di tempat kejadian dengan bantuan pasukan Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hitech.

Beliau berkata operasi yang diketuai oleh komander operasi Mohd Syam Kamaruddin tamat kira-kira jam 10.19 pagi.

“Pasukan itu menemui injap gas yang bocor dan menutupnya.

“Pasukan telah menjalankan pemantauan dan operasi mengesan kebocoran gas ammonia dengan menggunakan gas untuk memastikan kawasan itu benar-benar selamat,” katanya.

 

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button