BanjirNasional

Agong ziarah, santuni mangsa banjir di Rompin

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat menziarah dan menyantuni mangsa-mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Keratong, Rompin, Pahang, hari ini.

GAMBAR FB ISTANA NEGARA

Menurut kenyataan Istana Negara di media sosial Facebook, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek dan pemimpin setempat.

Lawatan bermula pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa dua jam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 1 dan PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 2.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di dua PPS tersebut dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir,” kata kenyataan itu.

Sebanyak 96 mangsa banjir daripada 29 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 1 manakala 211 lagi mangsa banjir daripada 61 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 2. – SM

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button