Luar Negarapilihan

1,267,490 jemaah tiba di Arab Saudi sejak 30 Julai sehingga Selasa lalu

MAKKAH: Seramai 1,267,490 jemaah tiba di Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah pada 1 Muharam 1444 (30 Julai) sehingga Selasa lalu.

Sebilangan besar 880,929 jemaah umrah tiba melalui pintu masuk lapangan terbang, menurut laporan Kementerian Haji dan Umrah.

Jemaah dari Indonesia, negara Islam paling ramai penduduknya, menduduki tempat pertama di antara negara yang menghantar jemaah paling ramai dengan seramai 317,200 jemaah.

Memetik laporan Saudi Gazette, Pakistan menduduki tempat kedua dengan 195,224 jemaah, manakala India di tempat ketiga dengan 133,517 jemaah diikuti Iraq dengan 86,803 jemaah.

Terdapat 470 syarikat Saudi yang diberi lesen untuk menyediakan perkhidmatan kepada jemaah umrah dan pelawat sepanjang musim umrah 10 bulan yang akan berakhir pada 29 Zulkaedah, sejurus sebelum ziarah tahunan haji.

Arab Saudi melanjutkan tempoh visa umrah daripada sebulan kepada tiga bulan dan jemaah dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke seluruh negara dalam tempoh visa mereka. Tempoh visa akan berakhir sebelum tiga bulan jika ia bertindih dengan musim haji.

Kementerian Haji dan Umrah menegaskan perlunya syarikat umrah komited menyediakan pakej perkhidmatan diperlukan jemaah dengan tujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam sektor berkenaan dan memudahkan perjalanan jemaah dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Kerajaan 2030.

Kementerian menjelaskan pada Selasa bahawa syarikat umrah diwajibkan mengeluarkan permit untuk mengerjakan umrah dan solat di Rawdah Sharif di Masjid Nabawi di Madinah dan memudahkan pergerakan ke Masjidil Haram, mengikut masa yang diluluskan dalam permit.

Prosedur itu juga termasuk mereka yang ingin mengulangi umrah ketika berada di Makkah. – AGENSI

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button