NasionalPolitik

Agong titah BN bentuk Kerajaan Perpaduan-Zahid Hamidi

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan pertemuan beliau dengan Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah supaya semua 30 Ahli Parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

Memetik Malaysiakini, Zahid berkata, beliau bersama dua lagi pemimpin tertinggi gabungan berkenaan menerima titah tersebut semasa menghadap Yang DiPertuan Agong di Istana Negara, pagi tadi.

Ditanya mengenai sikap berkecuali BN seperti dinyatakan beberapa pemimpin parti itu, Zahid menjawab: “Tak ada, tak ada… Bukan itu titah Tuanku.

“Titah Tuanku ialah bentuk Kerajaan Perpaduan,” kata Zahid seperti dilaporkan portal berita itu.

Selain Zahid, turut menghadap Agong ialah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Mereka sembah menghadap kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.


Semalam, Baginda menitahkan agar semua 30 ahli parlimen BN untuk hadir di Istana Negara pagi ini untuk ditemu bual secara langsung dalam usaha Baginda melantik Perdana Menteri Malaysia Ke-10 dan menubuhkan Kerajaan Persekutan.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November, baru-baru ini, tiada satu parti pun yang menang majoriti dan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Bagaimanapun, Zahid berkata, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga saja yang menghadap Agong.

Susulan titah Agong pagi tadi, Zahid berkata, titah tersebut akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN.

Berdasarkan surat dikeluarkan ibu pejabat parti, Mesyuarat MKT UMNO dijadual berlangsung pada pukul 8 malam ini, diikuti pertemuan Dewan Tertinggi BN. – SM

(Visited 217 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button