Uncategorized

Kerajaan negeri tidak zalimi peniaga – Ab Rauf

Kerajaan negeri tidak sama sekali akan menganiaya peniaga berikutan penutupan jalan selama tiga hari dalam tempoh 54 jam bagi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan bermula Jumaat lalu.

Menegaskan perkara tersebut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri bukan sebuah kerajaan yang zalim berikutan penutupan jalan hingga ada mendakwa ramai peniaga tidak dapat berniaga.

“Kita tidak akan menganiaya mana-mana peniaga kerana mereka adalah rakan kongsi pelancongan kepada kerajaan negeri.

“Kita ada kaedah untuk membawa masuk pelancong ke Zon Bebas Kenderaan. Jadi saya minta mereka (peniaga) bersabar, jangan kita terburu-buru buat kesimpulan.

“Kerajaan negeri masih mengkaji kaedah terbaik untuk memberi dan meraikan bukan sahaja pelancong tetapi juga peniaga di sepanjang kawasan pelancongan untuk
dipastikan mereka mendapat pulangan yang baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Megasurf Pantai Puteri 2023 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Pentas Budaya Pantai Puteri,  hari ini.

Ab. Rauf mengulas runggutan dalam kalangan peniaga di sepanjang laluan yang ditutup berikutan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dilanjutkan selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad bukannya pada Sabtu seperti sebelum ini.

Menurutnya, golongan peniaga memerlukan ramai pelancong untuk datang dengan selesa dan kerana itu kaedah yang sedang dijalankan masih diperingkat kajian
keberkesanannya agar memberi pulangan balik kepada rakyat.

“Pastinya ada satu benda baharu bakal menjadi kejutan dan kejutan ini sepatutnya mereka tidak merasa teraniaya sebenarnya mereka tidak dianiaya,” ujarnya lagi.

Justeru beliau berkata, menjelang TMM2024 Melaka akan menjadi lebih hebat pada tahun depan dan kehebatan ini menjadi sebab utama kerana ramai pelancong suka
datang ke sini serta peniaga dapat pulangan yang baik selepas ini.

Katanya, menjelang tahun depan kerajaan negeri merancang untuk membuat penyuraian trafik di titik-titik hitam yang dikenal pasti dengan satu kaedah akan dibuat bagi memastikan kelancaran kemasukan pelancong dan pengunjung. – SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button