Nasional

Istana Negara tangguh sesi mengadap Mat Sabu, Guan Eng

YANG di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya sesi mengadap Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng ditangguhkan.

Mohamad dan Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mereka pada mulanya dititahkan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara masing-masing hari ini dan Rabu depan.

Bagaimanapun Setiausaha Sulit Kanan Baginda memaklumkan, sesi mengadap tersebut ditangguhkan.

“Kami telah dititah untuk mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara pada hari Rabu, 14 Oktober 2020 untuk YB Lim Guan Eng dan pada hari Rabu, 21 Oktober 2020 untuk YB Haji Mohamad Bin Sabu.

“Namun, semalam Setiausaha Sulit Kanan Baginda telah memaklumkan kepada kami bahawa kedua-dua sesi menghadap Tuanku telah ditangguhkan.

“Kami menjunjung titah dan mendoakan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.

Sesi mengadap itu dipercayai berkaitan dengan dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Anwar mengadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pagi semalam.

Pada sidang medianya Anwar memaklumkan bahawa beliau telah mempersembahkan surat akuan bersumpah dan surat sokongan ketua-ketua parti yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih kerajaan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaubagaimanapun, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, presiden PKR itu tidak mengemukakan senarai nama mereka.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.-SM

 

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button