Ekonomi

Pelajar ISM mampu hasil jualan RM260,000 setahun

Siapa sangka, walau belum tamat pengajian lagi, pelajar jurusan perniagaan ini mampu menjana jualan sebanyak RM260,000 setahun.
Nilai ini amat memberangsangkan bagi seorang remaja berusia 20 tahun. Muhammad Hazim Syazwi bin Rahizam, menjalankan perniagaan pengurusan haji dan umrah di bawah syarikat Haneen Travel & Tours Sdn Bhd. Kejayaan Muhammad Hazim sebagai usahawan menjadi satu lambang keberkesanan Program Usahawan Jutawan Muda yang dijalankan untuk program Diploma Pengurusan Perniagaan berserta Mentoring Keusahawanan di Innovative School of Management (ISM).
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Innovative Capital Berhad, Puan Shahawati Umar, melalui tinjauan yang dibuat, kebanyakan pelajar lepasan SPM ingin berniaga dan menjadi usahawan. Mereka mahu singkatkan masa pembelajaran, justeru pengajian di ISM boleh memenuhi keperluan yang pelajar lepasan SPM ini mahukan.
“Ramai pelajar lepasan SPM ingin berniaga, menjadi usahawan dan ingin buat bisnes dengan betul. Lazimnya, mereka perlu dapatkan diploma dulu, kemudian baru belajar bisnes. Namun ISM menggabungkan kedua-duanya. Anda dapat diploma dan ilmu perniagaan dalam satu masa,” katanya lagi.
Hal ini disokong oleh kenyataan akhbar Sinar Harian melaporkan pada 20 Julai 2023 lalu, seramai 300,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Antara faktornya adalah lebih tertarik kepada ekonomi gig.
Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia, Mustapa Sakmud turut melahirkan kebimbangan kerana situasi ini boleh mempengaruhi dan memperlahankan sasaran kementerian untuk melahirkan 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030.
Melihat kepada keperluan ini, Innovative School of Management (ISM), telah melahirkan sebuah modul yang dinamakan sebagai Program Usahawan Jutawan Muda yang dilihat mampu menarik pelajar lepasan SPM mendapat manfaatnya.
SISTEM 12 POINTER
Program Usahawan Jutawan Muda adalah program pertama di Malaysia malah di dunia yang melibatkan sistem 12 pointer. Empat pointer pertama melibatkan program pengajian standard Malaysian Qualifications Agency (MQA) iaitu Diploma Pengurusan Perniagaan. Ada 90 kredit dengan sejumlah kursus yang perlu dijalani sepanjang semester.
“Empat pointer lagi adalah Pembinaan Karakter. Ini adalah blueprint yang dibina di ISM. Pembinaan Karakter adalah penjagaan hubungan dengan Allah termasuk solat jemaah, sedekah, solat tahajud dan puasa. Semua ini ada markah. Pelajar juga perlu memahami elemen mengenai perniagaan, mengenali diri dan membuat live streaming di media sosial,” katanya lagi.
Menurut Shahawati, empat pointer lagi adalah Pembangunan Perniagaan. Kurikulum ini dibina bersama syarikat pembangunan keusahawanan iaitu RichWorks International yang menggunakan modul asas tahap Sapphire yang dikurikulumkan. Ilmu ini melibatkan pembentukan produk, perancangan perniagaan dan strategi pemasaran yang betul termasuk keperluan pelajar untuk menguruskan perniagaan dengan betul.
Setakat ini Program Usahawan Jutawan Muda telah mempunyai tujuh pengambilan pelajar dengan seramai 68 pelajar. Semua pelajar dalam lepasan SPM dan mereka dalam proses merancang membuka perniagaan sendiri di bawah pantauan RichWork sebagai mentor. Bermula sebagai Sapphire, mereka boleh meneruskan kepada tahap
Titan dan Premier. Pelajar pengambilan pertama bakal bergraduasi pada Disember 2023 ini.
“Ada banyak perniagaan yang dibuka ketika pengajian. Misalnya perniagaan kaftan, sambal, kemeja-T. Dengan pembelajaran modul perniagaan berserta mentoring, pelajar boleh menjadi usahawan yang baik. Jika mereka rasakan terlalu awal untuk membuka perniagaan, mereka boleh bekerja di perniagaan orang lain dan boleh menjawat jawatan sebagai ketua yang berkaliber. Ini kerana modul di sini turut menekankan kredibiliti sebagai ketua organisasi,” ujarnya lagi.
Menyambung bicara, Shahawati turut percaya bahawa proses latihan industri yang dijalankan oleh kebanyakan institusi perniagaan tinggi (IPT) selama enam bulan tidak mencukupi untuk pelajar berjaya menjadi usahawan. Justeru pengajian menggunakan pendekatan coaching dan mentoring inilah yang membezakan pengajian perniagaan di ISM dengan IPT lain.
“Proses untuk jadi usahawan ini adalah satu proses yang intensif. Kita perlu lalui banyak elemen yang mencabar. Jika seseorang itu berjaya jadi usahawan, pasti dia juga boleh jadi pemimpin yang bagus,” katanya mengakhiri bicara. – SM
(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button