Sukan

Tugas belum selesai kata Brendan Gan

PEMAIN tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan menyifatkan semangat berpasukan dan berjuang yang jitu menjadi faktor penyumbang utama kemenangan Harimau Malaya 2-1 ke atas Thailand dalam perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia kembali ke landasan untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas melalui perjalanan sukar dalam kempen Kumpulan G berikutan kekalahan di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, bulan lepas.

“Ia merupakan persembahan hebat dari pasukan…mereka meletakkan 110 peratus, memperlihatkan semangat juang dan penonton juga sangat mengagumkan. Suasana sangat menyenangkan dan berjaya memperoleh kemenangan adalah satu perkara yang sungguh mengujakan.

Perkara yang hebat tentang pasukan ini adalah siapa sahaja yang ‘masuk’, mereka lakukan dengan baik. Tidak kira siapa yang memulakan dan tidak kira siapa yang masuk daripada bangku simpanan, kita semua mempunyai satu ‘gol’ dalam minda, iaitu untuk menang…untuk layak ke Piala Asia 2023, ” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pemain bola sepak kelahiran Australia berusia 31 tahun itu mempamer aksi cemerlang dan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26, menafikan jaringan pertama menerusi sumbangan gol oleh Chanatip Songkrasin selepas hanya tujuh minit dalam permainan separuh masa pertama.

Brendan kemudian melakukan satu hantaran bola lambung yang disambut dengan sepakan voli pemain sayap Pahang, Muhamadou Sumareh yang menerjah gawang Thailand pada minit ke-56 separuh masa kedua, untuk Malaysia mendahului dan memastikan kemenangan sehingga wisel penamat.

Bagaimanapun, Gan berkata apa yang paling utama ialah kejayaan pasukan.

“Bagi saya, tidak kira siapa yang menjaringkan gol dan siapa yang membantu, asalkan di penghujungnya kita mendapat kemenangan,” katanya.

Menjelang pertembungan Indonesia di Stadium Nasional Selasa depan, Gan menyeru semua pemain untuk kekal fokus bagi meraih satu lagi kemenangan seterusnya mencerahkan peluang mereka untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Ia sangat mengujakan untuk mendapatkan kemenangan ini tetapi tugas kami masih belum selesai. Kami masih mempunyai Indonesia (untuk ditangani) dan minda kami perlu memberi tumpuan terhadap perkara itu, ” katanya.

Malaysia kini menduduki tempat keempat berkongsi enam mata dengan UAE manakala Thailand di kedudukan kedua dengan tujuh mata. Vietnam menewaskan UAE 1-0 di Stadium Nasional My Dinh untuk berada di kedudukan teratas kumpulan dengan 10 mata.

— BERNAMA

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button