Ekonomi

Airbnb sokong insentif kerajaan dalam sektor pelancongan

AIRBNB memuji tindakan kerajaan Malaysia melaksanakan beberapa insentif khusus di bawah pakej rangsangan ekonomi untuk perniagaan sektor pelancongan.

Malah syarikat itu menyarankan supaya ia turut diperluas kepada hos penginapan kediaman jangka pendek (STRA).

“Ini berikutan peranan penting hos STRA itu sama ada sebagai individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memacu pelancongan Malaysia,” kata Ketua Dasar Awam Airbnb (Asia Tenggara), Mich Goh dalam kenyataan hari ini.

Antara insentif itu adalah penangguhan bayaran ansuran cukai mulai 1 April-31 Dis, 2020; kemudahan Skim Pembiayaan Pelancongan (PTF) bernilai RM1 bilion di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi insentif transformasi kewangan; bayaran sekali RM600 dan pengecualian cukai individu sebanyak RM1,000 bagi perbelanjaan berkaitan pelancongan sehingga Disember 2021.

Airbnb juga mencadangkan supaya baucar digital sehingga RM100 diberi kepada semua rakyat Malaysia bagi tujuan perbelanjaan domestik membabitkan tempahan Airbnb.

Platform kemudahan penginapan secara dalam talian itu juga menyarankan agar kerajaan melanjutkan moratorium pembayaran semula pinjaman sehingga sekurang-kurangnya Disember depan.

Ia berikutan ramai hos Airbnb bergantung kepada pendapatan itu bagi melunaskan bayaran pajakan masing-masing.

Goh yang menyambut baik peruntukan insentif khas kepada penggiat dalam ekonomi itu khususnya industri e-panggilan, juga amat berharap kemudahan sama diperluaskan kepada hos Airbnb.

“Airbnb komited menyokong kerajaan Malaysia dalam usaha mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi ini selain menjaga kepentingan komuniti hosnya di Malaysia.

“Kebanyakannya merupakan individu biasa selain usahawan mikro hospitaliti serta tetamu,” katanya.

Sejak bermulanya pandemik global COVID-19, Airbnb telah mengaktifkan dasar lebih longgar yang membenarkan tetamu dan hos membatalkan tempahan tanpa dikenakan sebarang penalti.

Pekerjanya juga telah menderma sejumlah US$1 juta daripada simpanan sendiri bagi memulakan Dana Bantuan Superhost bagi membantu hos yang berdepan kesukaran.

Dana yang kini mencecah US$17 juta, termasuk sumbangan pengasas program penginapan itu sebanyak US$9 juta, bertujuan membolehkan hos yang dihimpit masalah kewangan menerima geran berjumlah US$5,000. – BERNAMA

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button