Belang Bertempat

Shafie disukai rakyat, Musa melepas?

TIGA bulan selepas Parti Warisan membentuk kerajaan negeri Sabah hasil beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang lompat parti, presidennya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada Ogos 2018 memansuhkan geran komunal.

Ketua Menteri itu menggantikan geran itu dengan pendekatan baharu iaitu geran individu.

Pemansuhan geran komunal membolehkan geran tanah akan dimiliki secara individu dan bukan lagi secara berkumpulan.

Geran individu yang diperoleh mensyaratkan pemilik tidak boleh mencagar tanah ke bank dan selain pemilik geran individu tidak diberi kuasa perundangan dalam urusan jual beli tanah (power of attorney).

Pembaharuan itu kata Mohd. Shafie juga adalah sebagai perlindungan kepada pemilik tanah agar tidak timbul tuntutan bertindih.

Itu antara langkah drastik Presiden Warisan itu dalam mendekati hati penduduk Sabah, selaras dengan perjuangan Sabah for Sabahan yang dilaungkan Warisan.

Bulan lalu iaitu 9 Julai di Keningau, Mohd. Shafie menyerahkan 2,300 geran individu melibatkan keluasan 6,425.51 hektar untuk penduduk 101 buah kampung di daerah ini.

Sebanyak 3,075.45 hektar daripadanya adalah hasil pemansuhan geran komunal bagi 9 kampung di Sook di sini; 1,395.99 hektar pula adalah hasil pengukuran tanah menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas); manakala 1,953.07 hektar lagi menerusi permohonan tanah.

Dekat dengan hati rakyat, yang menjadi motto perjuangan Warisan, menyebabkan UMNO kelihatan menemui jalan sukar untuk menembusi pengaruh Mohd. Shafie di mata penduduk Sabah.

Apatah lagi penguasaan Pantai Timur Sabah, khususnya kawasan-kawasan parlimen di kawasan tersebut. Kawasan parlimen bagi Pantai Timur Sabah meliputi Parlimen Kudat, Parlimen Libaran, Parlimen Sandakan, Parlimen Batu Sapi, Parlimen Beluran, Parlimen Silam, Parlimen Semporna dan Parlimen Tawau.

Daripada preskriptif etnik, Pantai Timur bermajoriti bumiputera Islam termasuk bajau etnik Mohd. Shafie.

Begitupun menurut pemerhati, Mohd. Shafie juga bakal menemukan laluan berliku dalam pilihan raya negeri kali ini. Flip flop yang dialami Parti Warisan apabila cuba membenarkan kelulusan pas sementara Sabah yang berjaya disanggah oleh UMNO dalam pilihan raya kecil Kimanis Januari lalu, memperlihatkan sisi` cacat’ pentadbiran Warisan.

Apatah lagi insiden enam ADUN BN keluar daripada BN dan menyertai Warisan pada 11 Mei – dua hari selepas PRU-14 – sekali gus menyokong Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai ketua menteri, menyebabkan ada kalangan rakyat Sabah tidak yakin dengan mandat tulen diperoleh Mohd. Shafie.

Maka, PRN satu-satunya jalan keluar untuk memastikan mandat rakyat yang sebenar untuk parti yang benar-benar layak meraihnya.

Sesiapa yang menang, akan menamatkan kemelut pergolakan politik di Sabah – yang sebenarnya tidak akan tamat selagi ada kumpulan yang bernama `pelompat parti’ terus hidup segar bugar di Negeri Di Bawah Bayu itu.

– SM

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button