Parlimen

Agong perkenan Parlimen bersidang 26 Julai

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberikan perkenan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Januari masih berkuatkuasa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Muhyiddin bahawa bagi faedah orang ramai adalah mustahak untuk diadakan Mesyuarat Khas tersebut.

Katanya, Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari dari 26 Julai hingga 29 Julai dan 2 Ogos bermula pada pukul 10 pagi.

Sehubungan itu Setiausaha Dewan Rakyat Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin akan mengeleluarkan Pemberitahuan Mesyuarat Khas tersebut kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi maksud persiapan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berlangsung dalam keadaan selamat, perlu diperingatkan supaya semua Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematui prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Perlimen yang telah ditetapkan dengan mengambil kira pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang masa,” kata Azhar.

Sementara itu Azhar turut mengeluarkan takwim baharu Dewan Rakyat Bagi Penggal Keempat, Parlimen Ke-14.

Mesyuarat Pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula dari 6 September hingga 30 September dan Mesyuarat Kedua berlangsung selama 32 hari dari 25 Oktober hingga 16 Disember.

Yang di-Pertuan Agong akan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada 6 September pukul 10 pagi di Bangunan Parlimen.-SM

 

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button