Politik

Boleh berbeza pendapat, jangan kurang hormat Presiden

AHLI dan kepimpinan UMNO tidak sepatutnya membuka ruang kepada musuh luar yang cuba meretak dan memecahbelahkan kesatuan dalam parti.

Malah, antara ahli dan pemimpin juga tidak wajar wujud persengketaan walaupun berbeza pendapat tetapi akhirnya nanti boleh mewujudkan perseteruan antara satu sama lain.

Oleh demikian, perbezaan pendapat tidak sepatutnya menjadi alasan kepada perseteruan antara ahli serta kepimpinan.

Antara ahli dan kepimpinan biarkalah wujud sikap saling mendamaikan antara satu sama lain supaya musuh tidak mempunyai peluang untuk merosakkan parti.

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar di santuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.

“Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan lah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan UMNO.

“Pepatah Melayu berpesan, “Menurut Biar Berakal, Menentang Biar Beradab.

“Saya menyeru untuk semua kita kembali kepada kesatuan dalam UMNO dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

“Sedikit bibit perpecahan antara kita, akan memberi peluang kepada lawan kita untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.”

Demikian seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam satu kenyataan hari ini berhubung kewujudan desakan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Sebelum ini, pelbagai kain rentang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan wujud di beberapa kawasan UMNO Bahagian.

Bagaimanapun, perwakilan bahagian menafikan kain rentang itu dinaikkan mereka, sebaliknya mendakwa kegiatan itu dilakukan oleh pihak yang mahu memecahbelahkan UMNO>

Malah, Pemuda UMNO Bahagian juga dilihat secara terbuka mendesak Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berbuat demikian kerana mahukan kepimpinan baharu dan segar.

Walau bagaimanapun, Mohamad memberitahu, perbezaan pendapat dalam kalangan kepimpinan dan ahli seharusnya diurus dengan baik dan diraikan dengan satu iltizam.

“Saya menyeru kita semua bangunkan era baru untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat. “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”.

“Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati.

“Era di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan Demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.

“Dan akhirnya, era dimana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan,” ujarnya. – SM

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button