Ekonomi

Program SME BANK 90-Days Biz Challenge lahir usahawan siswazah berilmu dan berdaya saing

PROGRAM berbentuk pertandingan perniagaan SME Bank 90-Days Biz Challenge 2022 berjaya mencungkil bakat keusahawanan 20 pasukan finalis daripada Kolej Komuniti dan Politeknik apabila perniagaan yang mereka jalankan mencatat nilai jualan lebih setengah juta ringgit di sepanjang 10 bulan tempoh pertandingan berbanding rekod jualan bernilai RM103,000 yang dicatatkan pada edisi sebelum ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Datuk Ahmad sewaktu majlis penyampaian hadiah berkata, “Secara keseluruhannya, sejak program SME Bank 90 Days Biz Challenge dimulakan pada tahun 2015, jumlah nilai jualan yang dicatatkan oleh semua perserta adalah sekitar RM1.43 juta. Ini membuktikan dengan latihan, bimbingan yang bersesuaian serta semangat juang yang tinggi, bidang perniagaan yang diceburi oleh golongan remaja boleh berjaya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank 90-Days Biz Challenge adalah program tanggungjawab korporat utama anjuran SME Bank dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi. Setakat ini, ia telah memanfaatkan 1,692 pelajar dan rekod kami menunjukkan tujuh syarikat masih aktif dan terus menjalankan perniagaan mereka walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan kawalan pergerakan dua tahun yang lalu.”

Untuk menjadikan program ini lebih relevan dan mencerminkan realiti perniagaan masa kini, penekanan diberikan kepada aspek pemasaran digital melalui penghasilan dua video perkembangn perniagaan untuk dimuatnaik ke Facebook dengan tujuan  mendapatkan markah tambahan melalui jumlah ‘Like’ tertinggi. Secara keseluruhannya, video-video tersebut telah mendapat jumlah ‘Like’ sebanyak 52,078 kali dan ditonton oleh orang ramai sebanyak 46,505 kali.

Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat SME Bank telah dilantik untuk menjadi jurulatih perniagaan bagi program ini. Pendekatan hands-on yang digunakan oleh CEDAR memastikan peserta mengaplikasikan ilmu keusahawanan dan pemasaran digital yang telah dipelajari ke dalam perniagaan mereka. Antara topik keusahawanan yang telah dipelajari oleh para peserta finalis termasuk teknik pembentangan atau pitching, penyediaan laporan perniagaan dan analisis SWOT.

SME Bank telah menyediakan hadiah wang tunai secara keseluruhannya sebanyak RM45,000 untuk para pemenang. Juara pertandingan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, piala pusingan, trofi dan sijil, manakala Naib Juara sebanyak RM15,000, trofi dan sijil dan Tempat Ketiga berjumlah RM10,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Pemilihan pemenang telah dibuat oleh panel juri yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan yang terdiri daripada wakil SME Bank, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), SME Corporation Malaysia, TEKUN Nasional, MARA, Bank Rakyat dan usahawan SME Bank. Penilaian pemenang dibuat berdasarkan aspek pasaran, kewangan, pengurusan dan juga teknikal.  Keputusan pemenang telah diaudit oleh sebuah firma akauntan profesional yang dilantik oleh SME Bank.

Peserta SME Bank 90-Days Biz Challenge juga akan didaftarkan sebagai alumni dan akan mendapat akses kepada pelbagai faedah seperti menyertai program–program keusahawanan serta latihan dan bimbingan yang oleh SME Bank dan juga agensi Kerajaan. Antara program keusahawanan yang telah disertai oleh alumni adalah Minggu Usahawan Nasional anjuran KUSKOP.

Majlis penyampaian hadiah telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Datuk Ahmad, Pengarah Kanan Kompetensi, Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), Roslee Yahya, Wakil Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (MoHE), Dr. Shamsuri Abdullah dan Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail. – SM

Artikel berkaitan > Penjana Komuniti@SME Bank diteruskan untuk bantu usahawan B40

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button