Bencana alamNasional

Warga emas cedera tanah runtuh di Sungai Penchala

SEORANG warga emas cedera manakala empat rumah rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi.

Warga emas berusia 70-an itu didapati tertimbus sehingga ke paras pinggang dalam kejadian tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khairul Azuwan Ibrahim memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 1.22 pagi.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tamabn Tun Dr. Ismail dan jentera dari Sri Hartamas dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh yang menghempap empat buah rumah kediaman dan seorang wanita warga emas tertimbus sehingga ke paras pinggang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan pantas pasukan penyelamat telah berjaya mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Menurut beliau, seramai 35 anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian termasuk anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Lokasi tanah runtuh berkenaan kini ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan sementara pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan kawasan itu selamat, katanya. – SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button