Hiburan

Agong dan Permaisuri berkenan tonton Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menonton filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di The Gardens Mall pada malam Selasa lalu.

Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan barisan produksi filem berkenaan.

Barisan produksi filem amat berbesar hati dan menjunjung kasih di atas sudi perkenan Seri Paduka Baginda berangkat menonton filem buatan Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan Negara yang akan datang ini.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke tayangan eksklusif ini amat bermakna bagi mengiktiraf dan menyokong usaha kolaborasi ATM, TUDM dan penggiat seni tempatan dalam menghasilkan karya yang mengangkat nama ATM di pentas dunia ini.”

Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan bergambar bersama Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Datuk Steven Lim (kiri) dan isteri, Datin Vince Chin (kanan).

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Multimedia Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar, Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Datuk Steven Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Henry Tan, Pengarah Air Force The Movie: Selagi Bernyawa Frank See dan Ketua Pegawai Eksekutif SixFun Media KC Hoe.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Filem fiksyen aksi ketenteraan Malaysia ini mengisahkan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh. Di Malaysia, pasukan TUDM mengadakan misi untuk menyelamatkan mereka.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon-pelakon terkenal Dato Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo. Filem ini diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan Frank See.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ditayangkan di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura mulai 25 Ogos 2022. – SM

(Visited 447 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button