Uncategorized

CENTHRA pastikan data yang tepat jadi advokasi NGO

Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) hari ini telah mengadakan suatu mesyuarat penyelarasan kumpulan penyelidikan bagi memuktamadkan laporan separuh penggal (mid-term review) Semakan Berkala Sejagat (UPR), bagi pusingan ketiga melibatkan Malaysia.

Projek penyelidikan ini merupakan susulan daripada usaha yang telah dimulakan CENTHRA semenjak penglibatannya dalam proses UPR di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC), Geneva seawal tahun 2014. Penyertaan CENTHRA melalui gabungan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process atau MACSA dalam sesi UPR pada bulan November 2018 telah memperkukuh suara Organisasi Masyarakat Sivil Islam dalam menyuarakan isu-isu hak asasi manusia dalam kerangka yang tepat dan berwibawa.

Melalui sokongan berterusan daripada pelbagai pihak khususnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), CENTHRA telah dapat memberikan perhatian kepada tema-tema penyelidikan yang dipilih bagi memastikan gambaran serta data yang tepat dapat diperolehi untuk dijadikan asas rujukan advokasi NGO ini di dalam bidang hak asasi manusia.

Seramai kira-kira 21 penyelidik terdiri daripada pakar-pakar rujuk daripada kalangan pensyarah universiti-universiti tempatan, pengamal undang-undang dan aktivis CENTHRA telah hadir menyumbangkan idea dan pandangan mengenai kemajuan penyelidikan tersebut.

Sebanyak 10 tema kajian telah dibentangkan sebagai ringkasan laporan merangkumi tema Hak Pelarian, Pekerja Migran, Pemerdagangan Manusia, Isu Individu Tanpa Negara, Kebebasan Bersuara, Hak Kanak-kanak, Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, Kebebasan Beragama, Mahkamah Sivil dan Syariah serta Perjanjian Antarabangsa.

Hasil penyelidikan daripada laporan separuh penggal ini membentuk dokumen yang akan dikemukakan CENTHRA kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland pada bulan ini.

Bersesuaian dengan prinsip dan pendekatan CENTHRA semenjak awal penubuhannya, usaha mempertahan, mempromosi dan memperjuangkan hak asasi di Malaysia hendaklah berdasarkan pematuhan terhadap Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Perisytiharan Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam (CDHRI) 1990, Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan undang-undang syariah.

Adalah diharapkan usaha berterusan CENTHRA ini akan dapat memperkukuh usaha mempertahankan hak asasi manusia masyarakat Malaysia berdasarkan acuan tersendiri serta konsisten dengan kedudukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024.

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button