Nasional

Agensi pelancongan jangan beri khidmat balik kampung beraya

Agensi pelancongan perlu bertanggungjawab dalam memastikan bahawa tiada pihak yang menyalahgunakan gelembung perjalanan yang ditawarkan oleh mereka sebagai tiket untuk balik beraya ke kampung.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar mengingatkan agensi pelancongan agar jujur dalam menerima tempahan daripada orang ramai agar tiada pihak mengambil kesempatan daripada kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan ini.

“Mana-mana agensi pelancongan yang tidak jujur dalam urusan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan peraturan lain di bawahnya,” katanya kepada pemberita malam Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi ramah mesra industri pelancongan dan rakan media negeri Perlis dekat sini.

Menurut akta tersebut agensi pelancongan dan pemandu pelancongan boleh dikenakan tindakan oleh Pesuruhjaya Pelancongan Malaysia.

Beliau menasihati orang ramai agar mematuhi ketetapan kerajaan dan tidak mengambil peluang tersebut untuk balik beraya ke kampung.

“Kita ada dengar bahawa terdapat pihak yang mengguna ‘travel bubble’ untuk balik kampung, namun cara tidak akan menghalalkan niat dan ianya merupakan tanggungjawab diri sendiri untuk menentukannya,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ammar berkata, pihaknya akan mengenal pasti produk-produk pelancongan di negeri Perlis sebagai persiapan merancakkan kembali sektor pelancongan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan apabila wabak Covid-19 beransur baik selepas ini.

“Kita tidak mahu negeri Perlis hanya dikenali kerana mangga harumanis sahaja sebaliknya ingin mempelbagaikan produk baharu seperti Kampung Seberang Ramai (juga dikenali Kampung Pelagi) di Kuala Perlis yang mempunyai keunikannya tersendiri baik dari segi keindahan dan aktiviti pelancongan daripada penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata, ia akan dijadikan sebagai pusat sehenti mempromosikan produk-produk termasuk hasil kraf tangan, kebudayaan dan makanan penduduk setempat.

Katanya, perancangan ini dibuat bagi menukar Kuala Perlis bukan lagi sebagai tempat transit pelancong ke Pulau Langkawi sebaliknya menjadi salah satu destinasi tumpuan utama pelancong pada masa akan datang. – Bernama

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button