Nasional

Agensi Islam di Perlis perlu sama-sama bantu tangani Covid-19

Agensi-agensi agama Islam di negeri Perlis komited untuk terus melipatgandakan usaha bagi sama-sama membantu mengekang serta menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini melalui kapasiti dan bidang kuasa masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Norbayah Mohd Saleh, 50 tahun yang tinggal di Kampung Behor Mempelam, Tambun Tulang dekat Arau.

Norbayah yang menghidap penyakit asma dan tidak bekerja tinggal bersama 6 orang anak yang mana salah seorang daripada mereka memerlukan rawatan perubatan lanjutan di Hospital Besar Pulau Pinang dalam masa terdekat ini. Seorang lagi anak beliau telah terpaksa menangguhkan pengajian di salah sebuah IPTA.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Titah baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, ‘Dengan izin Allah SWT, agensi-agensi agama Islam di negeri Perlis yang terdiri daripada MAIPs sendiri, bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri akan berusaha lebih keras lagi dalam memainkan peranannya bagi menghulurkan bantuan sumbangan kepada rakyat selain membantu menghentikan penularan wabak Covid-19 dengan keputusan-keputusan dasar dan pelaksanaannya dalam segenap urus tadbir’.


“Alhamdulillah, antara inisiatif yang dilaksanakan, Perlis telah menjadi negeri pertama di Malaysia malah antara yang terawal di dunia mengambil langkah menangguhkan pelaksanaan aktiviti pengimarahan di masjid pada 13 Mac 2020 dan menjadi yang pertama kembali membuka semula pengimarahan masjid,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, ‘Selain itu, agensi-agensi agama Islam di negeri ini akan terus berikhtiar untuk mencerminkan sikap berhati-hati dan cermat dalam menyusun atur segala ketetapan SOP di bawah pengurusan mereka bahkan akan berusaha menawarkan alternatif kepada masyarakat dalam melaksanakan ibadah yang difardukan seperti sebelum ini sehingga menjadi rujukan termasuk di luar Perlis, malahan di luar negara’.

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button