Nasional

Agenda memperkasa wanita tanggungjawab semua – PM

JURANG gender yang ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuat keputusan merupakan satu kerugian kepada negara dan perlu ditangani secara bersepadu dan menyeluruh.

Ini kerana ramai wanita di Malaysia yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penglibatan wanita dalam organisasi-organisasi pentadbiran di pelbagai peringkat boleh membawa perubahan yang besar kepada dasar-dasar dan undang-undang serta menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

“Menyedari hakikat itu, kerajaan akan terus cakna perihal kesejahteraan kaum wanita kerana saya yakin, jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita 2022, malam ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan yang secara langsung dan tidak langsung yang dapat memberi manfaat kepada golongan wanita.

Beliau berkata, bagi membantu usahawan wanita, sebanyak RM230 juta dana pembiayaan telah disediakan melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah TEKUN.

Selain itu, kata Perdana Menteri Ismail Sabri, Program MyKasih Kapital yang dilaksanakan oleh kerajaan turut memperuntukkan insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan bagi menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

Tambah beliau, Kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawan.

“Dalam usaha mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam,” ujar beliau.

Cadangan tersebut, katanya, dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 nanti bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

Ismail Sabri berkata, menyedari kepentingan aspek keselamatan dan perlindungan sosial terhadap wanita terutama yang berhadapan dengan masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan, kerajaan mengambil inisiatif menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta memperkasa Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memastikan pelaku jenayah terhadap wanita diambil tindakan yang tegas dan pantas,” tegas Ismail Sabri.

Beliau juga berkata, program kesedaran komuniti bagi menangani isu keganasan terhadap wanita turut dilaksanakan melalui Skuad Waja.

Perdana Menteri berkata, agenda memperkasa wanita merupakan tanggungjawab bersama semua pihak dan bukan hanya dipikul oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja.

Dalam hal ini, beliau memuji peranan serta inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam membantu membangun, memperkasa, mengiktiraf kebolehan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, beliau mengumumkan inisiatif-inisiatif seperti berikut:
Pertama: Penubuhan Majlis Wanita Negara (BDPS) Kedua: Pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (BDPS)
Ketiga: Bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah dimantapkan lagi.
Hakam merupakan satu kaedah untuk memudah dan mempercepatkan proses perceraian di kalangan pasangan Islam.
Kaedah ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai.
Keempat: Berhubung dengan perceraian juga, kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.
Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di Mahkamah.
Kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.
Kelima: Memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh Wanita yang kematian suami, Ketua Jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah digalakkan untuk membenarkan Wanita tersebut untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.
Keenam: Sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan mahupun negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita. – SM

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button