Hiburan

Afieq Shazwan Nafi Terlibat Kes Amang Seksual – ‘Kami Sebaya, Tapi Itu Bukan Saya!’

PENYANYI dan pelakon popular, Afieq Shazwan tampil menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam kes amang seksual membabitkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, seperti yang tular baru-baru ini.

Afieq atau nama penuhnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, mengakui menerima banyak panggilan dan mesej daripada pihak media serta kenalan yang ingin mendapatkan kepastian selepas namanya dikaitkan dengan individu terbabit.

“Ada orang kata saya adalah individu itu sebab dikaitkan dengan drama yang pernah saya lakonkan. Selain itu, usia saya pun sama, dan tarikh lahir hampir sama kerana kami memang sebaya.

“Tapi, sejujurnya memang saya tak tahu apa-apa. Itu bukan saya pun,” tegasnya kepada Harian Metro.

Tambah Afieq, kesibukan jadual kerja termasuk urusan keluarga menyebabkan beliau belum sempat memberikan sebarang kenyataan sebelum ini.

“Saya baru balik dari Sabah dan Kuching, hujung minggu pula penuh. Tambah lagi saya sibuk bantu emak buat persiapan Raya Haji. Tapi saya sudah agak nama saya akan dipetik juga,” ujarnya.

Walaupun terkejut dengan spekulasi tersebut, pelantun lagu Lelaki Di Telefon itu memilih untuk bertenang dan tidak mahu mengulas secara berlebihan bagi mengelakkan timbulnya fitnah atau mengguris hati mana-mana pihak, termasuk rakan artis.

“Saya faham kenapa orang mula berteka-teki. Tapi tak mahu benda ini jadi fitnah. Saya juga ingin ingatkan rakan-rakan artis, sebagai public figure kita kena pandai-pandai jaga diri.

“Ramai yang minat hasil kerja kita, jadi demi menjaga karier dan nama baik, elakkanlah daripada terlibat dalam perkara sebegini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Media melaporkan seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja di sebuah hotel di Selangor. Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Polis turut mengesahkan artis terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan selepas memberi keterangan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button