Nasional

2020: Kerajaan PH janji teruskan pembentukan Malaysia Baru yang diidamkan

SEMPENA tahun 2020 Kerajaan berjanji untuk meneruskan perjuangan ke arah pembentukan Malaysia Baharu yang diidamkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dalam perutusan tahun baru 2020.

Katanya, 2019 merupakan tahun yang penuh cabaran bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melalui fasa baharu pentadbiran, justeru bagi tahun 2020 beliau menyeru semua pihak bersama-sama dalam menumpukan kepada usaha-usaha yang positif untuk rakyat.

“Tahun 2020, pasangan yang tidak memiliki cahaya mata boleh mengeluarkan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sehingga RM10,000 dan Tahun 2020 juga seorang suami yang penyayang, dapat menunjukkan penghargaan kepada isteri dengan menyumbang caruman dua peratus KWSP, daripada akaun suami ke akaun isteri,” katanya hari ini.

Selain itu Wan Azizah berkata tahun 2020 juga bakal menyaksikan kerajaan memperkenal Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan untuk pengurusan keselamatan siber dan jenayah siber, demi perlindungan rakyat, serta memperuntukkan RM10 juta, untuk pembangunan atlet wanita.

Manakala katanya, wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih dan kembali bekerja, akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan, dalam tempoh yang sama.

“Ini adalah antara langkah-langkah kerajaan yang dapat dinikmati pada tahun depan… selain itu kita juga berjanji untuk terus menentang rasuah pada tahun 2020,” katanya sambil mengucapkan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia, agar terus mempertahankan keharmonian serta kerukunan negara, dan tidak membiarkan ia dirosakkan pihak-pihak tertentu yang berfahaman sempit, dengan menggunakan isu perkauman dan agama demi kepentingan politik mereka.

“Seharusnya persaingan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, ialah dalam membuat kebaikan dan saling mengangkat kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ahli-ahli Amanah agar terus menjadikan integriti sebagai panduan, dalam setiap urusan dan jadikan 2020 sebagai tahun untuk terus bekerja keras, bagi memastikan kehidupan semua rakyat Malaysia akan menjadi lebih baik.

“Kita mengalu-alukan segala kritikan membina yang diberikan, agar kerajaan dapat memperbaiki segala kelemahan… akhir kata saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua,” katanya.– Bernama

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button