Lifestyle

AEON Hijaukan Segamat, 30,000 Pokok Bakal Warnai Hutan Persahabatan

AEON CO. (M) BHD memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dengan melancarkan projek penghijauan terbaharu selama tiga tahun di Segamat, Johor, menerusi Malaysia-Japan Friendship Forest Programme yang diteruskan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Pelancaran ini bukan sahaja membuka lembaran baharu, malah menandakan penutup rasmi kepada kejayaan projek terdahulu di Bidor, Perak, yang berlangsung dari tahun 2014 hingga 2023. Sepanjang tempoh itu, AEON telah menanam lebih 30,000 pokok spesies hutan hujan tropika di kawasan seluas 22.75 hektar, yang dahulunya merupakan tapak bekas lombong bijih timah. Projek ini turut menyumbang kepada kempen 100 Juta Penanaman Pokok oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.

Majlis pertukaran Surat Hasrat (LOI). Dari kiri: Tsugutoshi Seko, Timbalan Pengarah Urusan AEON; Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON; Dato’ Dr. Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM; dan Dr. Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM.

Majlis pengumuman rasmi inisiatif di Segamat telah diadakan di ibu pejabat FRIM, Kepong baru-baru ini. Turut berlangsung, sesi pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON CO. (M) BHD dan Dato’ Dr. Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM. Majlis disaksikan oleh Dr. Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM dan Tsugutoshi Seko, Timbalan Pengarah Urusan AEON.

Sebagai simbolik pelancaran, satu sesi penanaman pokok turut diadakan di Padang 44, FRIM Kepong, melibatkan spesies seperti Meranti Temak Nipis (Anthoshorea roxburghii), Meranti Tembaga (Rubroshorea leprosula) dan Sesenduk (Endospermum diadenum).

30,000 Pokok Lagi di Segamat Menjelang 2027

Projek di Segamat ini bakal berlangsung dari 2025 hingga 2027, dengan sasaran menanam 30,000 pokok di kawasan seluas 36 hektar, dibahagikan kepada tiga fasa (10,000 pokok setiap fasa). Matlamatnya adalah untuk mengulangi kejayaan di Bidor, iaitu menghidupkan semula kawasan terbiar menjadi ekosistem subur dan habitat semula jadi pelbagai fauna.

“Projek di Bidor membuktikan hasil sinergi antara tanggungjawab korporat dan kepakaran saintifik. Kami bangga meneruskan legasi ini di Segamat sebagai sebahagian strategi kelestarian AEON,” ujar Naoya Okada.

“Sejak 1991, kami telah menanam lebih 557,000 pokok di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif hijau.”

Sementara itu, Dato’ Dr. Ismail turut menyatakan penghargaan atas kerjasama berterusan dengan AEON:

“Plot di Bidor akan terus digunakan sebagai kawasan penyelidikan, pendidikan dan pengeluaran benih. Ia juga berjaya menarik spesies fauna termasuk burung berhijrah. FRIM mengalu-alukan peluang kerjasama lanjut dengan AEON demi memelihara alam semula jadi.”

Inisiatif ini menegaskan sokongan AEON terhadap prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), dengan memberi tumpuan kepada pemulihan ekosistem, pembangunan komuniti dan pertumbuhan mampan demi manfaat generasi akan datang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button