
Advancecon Peroleh Kontrak RM47.5 Juta untuk Pembangunan Pusat Data Gerbil di Port Dickson
Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) penyedia perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam yang mapan di Malaysia mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuh Advancecon Infra Sdn. Bhd. (“AISB”), telah menerima Surat Anugerah (“LOA”) daripada Mujur Minat Sdn. Bhd. (“MMSB”) untuk pembinaan dan penyiapan kerja infrastruktur utama untuk pembangunan Pusat Data Gerbil di Bandar Springhill, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Subkontrak bernilai RM47.5 juta itu telah diberikan berhubung dengan cadangan pembangunan yang ditauliahkan oleh Gamuda Berhad. Skop kerja yang diamanahkan kepada AISB termasuk komponen kritikal pembinaan infrastruktur pusat data, yang dijangka siap pada 30 Ogos 2025.
Pencapaian kejayaan ini menandakan kemasukan sulung Advancecon ke dalam segmen infrastruktur pusat data, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat untuk pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, Datuk Phum Ang Kia berkata, mereka sedia memainkan peranan dalam menyokong pembangunan infrastruktur kritikal misi seperti Pusat Data Gerbil.
Kontrak iitu katanya, bukan sahaja mempelbagaikan portfolio projek mereka tetapi juga mewakili langkah strategik ke hadapan semasa berkembang ke sektor baharu yang sejajar dengan matlamat pendigitalan dan kemampanan negara.
“Berpandukan tujuan kami mengubah negara dengan membina asas yang kukuh untuk masa depan yang lebih baik, visi kami adalah untuk menjadi peneraju global dalam infrastruktur, kerja tanah dan tenaga boleh diperbaharui.
“Projek ini berfungsi sebagai bukti kelayakan yang akan mengukuhkan kedudukan kami apabila mengejar kontrak berkualiti tinggi yang serupa pada masa hadapan. Kami berhasrat untuk menjadi lebih agresif dalam mengejar peluang yang sejajar dengan keutamaan strategik kami dan membina nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami,” katanya.
AISB, yang pakar dalam kerja tanah dan perkhidmatan kejuruteraan awam, akan melaksanakan projek menggunakan gabungan dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.
Subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan sepanjang tempoh kontrak, tanpa kesan material ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham yang besar. – SM