Nasionalpilihan

KWAP hantar RM1.8 bilion ke luar negara tanpa usaha wajar – Saksi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur  hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd gagal melaksanakan usaha wajar ke atas RM1.8 bilion pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pertama, sebelum memindahkannya ke akaun luar pesisir yang didakwa untuk aktiviti pelaburan.
BERNAMA melaporkan bekas pengarah SRC International Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 54, berkata tiada usaha wajar dilakukan kerana resolusi pekeliling (DCR) pengarah telah ditandatangani dan diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan perdana menteri dan juga menteri kewangan ketika itu.
Shahrol Azral berkata demikian ketika memberi keterangan selaku pihak ketiga dalam saman sivil US$1.18 bilion SRC International terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil.
“Saya merasakan saya perlu melakukannya kerana ia adalah arahan PM. Saya lebih suka jika mempunyai lebih maklumat, tetapi saya teruskan juga dan menandatanganinya. Ia bukan sekadar arahan, ia telah ditandatangani oleh PM dan bekas menteri kewangan dan pemegang saham 1MDB yang menjadikannya sangat kukuh.
“Kami cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh, tetapi apabila tiba untuk pelaksanaan, PM telah menandatanganinya… jadi kami terpaksa melakukannya. Jika PM fikir ia adalah idea yang baik, saya percaya pertimbangannya,” kata saksi itu ketika disoal peguam Najib Harvinderjit Singh.
Wang pinjaman itu telah dipindahkan kepada Falcon Private Bank Ltd di Switzerland dan Julius Baer di Hong Kong untuk kegunaan bagi memperoleh dua syarikat di Indonesia (PT ABM Investama dan Bumi Resources TBk PT) serta dua syarikat di Mongolia (Gobi Coal and Energy Limited dan Erdens-Tavan Tolgoi).
Dalam perbicaraan jenayah SRC pada 2019, bekas pengerusi SRC Tan Sri Ismee Ismail memberi keterangan bahawa Nik Faisal telah diarahkan oleh Najib untuk memindahkan wang itu dalam mesyuarat pada 7 Sept 2011.
SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa bahawa Najib telah melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, secara peribadi mendapat manfaat daripada dana syarikat dan menyalahgunakan dana tersebut.
Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan supaya Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.
Najib, 70, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
(Visited 34 times, 28 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button