Politik

ADUN Lantikan: Abdul Hadi berterima kasih pada PM, KM Sabah

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan untuk melantik wakil Pas, Dr. Aliakbar Gulasan sebagai ADUN Sabah.

Abdul Hadi menyifatkan pelantikan julung kali itu akan membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah.

Ini kerana pelantikan tersebut akan membuka jalan bagi Pas untuk menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah.

“Sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.

“Kepada Dr. Aliakbar Gulasan dan PAS Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara,” kata Abdul Hadi.


Dr. Aliakbar yang merupakan Setiausaha Perhubungan PAS dilantik sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Sabah bagi penggal DUN ke-16.

Sejak lebih 35 tahun bertapak di Sabah ini kali pertama wakil Pas menduduki kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Pelantikan tersebut dipercaya sebagai menghargai jasa Pas yang bertolak ansur untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

PAS memberi laluan kepada rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memastikan pertandingan dua penjuru demi kemenangan besar gabungan berkenaan.

Abdul Hadi, berkata PAS menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam PRN Sabah selepas usaha rundingan dimuktamadkan.

PAS mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan dalam PN demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa depan selain mahu memberi fokus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Keutamaan PAS adalah persiapan untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka dalam masa terdekat selain komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN.

“Sokongan jentera dan ahli-ahli PAS dalam PRN Sabah tetap akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Selain Dr. Aliakbar, terdapat lima lagi ADUN Lantikan iaitu dua daripada UMNO dan tiga daripada PN.-SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button