Nasional

Adik bongsu ikut jejak abang kakak hafal al-Quran

ANAK bongsu daripada lima beradik akhirnya berjaya melengkapkan impian ayahnya mahukan anak-anak menjadi tahfiz al-Quran.

Nurul Ain Solahuddin, 17, juga menerima Anugerah Pelajar Syahadah pada Majlis Konvokesyen Maahad Tahfiz Al Hikmah Ke-2 di Dewan Maahad Tahfiz Al Hikmah Lilbanat (Perempuan) di Batu 1 1/2, Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis.

Beliau juga menerima cek replika bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang juga menyempurnakan majlis perasmian konvokesyen tersebut hari ini.

NURUL AIN SOLAHUDIN menerima mock cek RM1,000 daripada Azlan Man sambil disaksikan Muhammad Rohim Kamis.

Hadir sama, Mudir Maahad Tahfiz Al Hikmah, Muhammad Rohim Kamis.

Menurut ayahnya, Solehuddin Azmi, 47, Nurul Ain sebenarnya mengikut jejak langkah abang dan kakaknya yang menghafal al-Quran.


“Sejak kecil saya bagi galakan supaya mereka cenderung dalam bidang hafalan dan alhamdulillah anak-anak menerima dengan baik,” katanya yang tinggal di Sungai Padang, Simpang Empat, Arau, Perlis.

Beliau berkata, kesemua anak-anaknya yang menghafal al-Quran sedang meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi di bidang agama.

Nurul Ain kini menyambung pengajiannya di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI) Kampung Jejawi Dalam, Arau bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang agama di luar negara kerana ingin mengikut jejak langkah abang keduanya yang kini berada di negara Yaman.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Mohd Ashif Yaakob menerima Anugerah Pelajar Inspirasi.

SEBAHAGIAN pelajar yang menerima ijazah khatam Quran pada Majlis Konvokesyen Maahad Tahfiz Al Hikmah di Dewan Maahad Tahfiz Al Hikmah Lilbanat (Perempuan) di Batu 1 1/2, Jalan Kaki Bukit, dekat Kangar, Perlis hari ini

Beliau yang menerima hadiah RM1,000 ini telah berjaya khatam hafazan selama tiga tahun di maahad ini.

Mohd Ashif kini menyambung pengajian Ijazah Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Beliau pernah mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan pada majlis hafazan bagi kategori juzuk 1-10, juzuk 1-20 dan juzuk 1-30 selama tiga tahun berturut-turut.

Pada majlis konvokesyen ini sebanyak 28 pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al Hikmah Padang Siding, Arau menerima ijazah khatam al Quran manakala dari Maahad Tahfiz Al Hikmah Lilbanat (Perempuan) pula 13 orang. – SM

 

(Visited 712 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button