MahkamahNasional

Permohonan Najib pinda notis usul permohonan masuk bukti tambahan dibenarkan

MAHKAMAH Persekutuan sebulat suara hari ini membenarkan satu daripada dua permohonan Datuk Seri Najib Razak yang ditetapkan untuk pendengaran pagi tadi.

Permohonan yang difailkan pada 16 Julai lalu memohon pelbagai pindaan terhadap notis usul substantif yang difailkan dua bulan lalu untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan rasuah SRC Najib yang menurutnya menunjukkan Hakim Nazlan Ghazali membicarakan kes itu di bawah “konflik kepentingan serius”.

Pindaan itu akan membolehkan pasukan peguam Najib memasukkan lebih banyak bukti termasuk keterangan lisan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan penyiasat SPRM, Rosli Hussein yang dikatakan mengambil keterangan Nazlan ketika siasatan.

Keterangan individu lain yang dimohon melalui pindaan itu ialah pegawai SPRM, Mohamed Zamri Zainul Abidin dan Asrul Ridzuan Ahmad Rustami serta penolong pegawai penyiasat, Noor Syazana Kamin.

Tiada hujah lisan dikemukakan pagi tadi, dengan pendakwa raya utama, V Sithambaram berkata, pihaknya tidak membantah pindaan itu.

Keputusan mahkamah tertinggi itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Tengku Maimun berkata, merit permohonan substantif itu tidak dipertimbangkan ketika membuat keputusan itu.

Hujah mengenai merit usul substantif Najib dalam progres, dengan peguam utama, Hisyam Teh sedang berhujah dalam mahkamah.

Bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah oleh Nazlan pada 28 Julai 2020 atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan RM42 juta dana SRC International. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Sabitan dan hukumannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 tetapi digantung sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai. – FMT – SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button