Hiburan

Adaptasi Novel Terlaris “Gantung” Kini Di Layar Perak

SELEPAS tujuh tahun menanti, kisah mendebarkan empat sahabat dari dunia novel dan siri televisyen Gantung akhirnya menemui pengakhiran di layar perak menerusi filem Gantung: Musketeer Code, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.

Diadaptasi daripada novel popular terbitan Buku Fixi karya Nadia Khan, filem ini adalah kesinambungan kepada drama bersiri Gantung The Series (2018) yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia dan Indonesia. Kisah berkisar tentang empat pelajar lelaki — Gibbs, Ray, Troll dan KJ — yang berhadapan tahun akhir persekolahan di sebuah sekolah elit, sebelum terpalit dengan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan.

Nadia Khan, yang turut bertindak sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah filem ini, menyatakan bahawa filem tersebut dihasilkan atas permintaan peminat tegar novel berkenaan yang menginginkan penamat sempurna kepada kisah yang menggantung harapan selama ini.

“Kami di Neddo Works amat terharu apabila melihat sambutan peminat terhadap idea menjadikan novel ini sebagai filem. Ia bagaikan suara anak muda yang ingin didengari,” ujar Nadia.

Untuk merealisasikan impian tersebut, projek ini dimulakan dengan inisiatif crowdfunding pada Januari 2020, berjaya mengumpul dana sekitar RM200,000 hasil jualan buku Musketeers, t-shirt dan cenderamata. Namun, pandemik COVID-19 telah melambatkan penggambaran yang hanya dapat dijalankan sepenuhnya dari Disember 2023 hingga Januari 2024.

Antara pelakon utama yang membintangi filem ini ialah Ikmal Amry, Ben Amir, Hafreez Adam, Brandon Salim (dari Indonesia) dan Shazia Rozaini. Filem ini turut memperlihatkan lakonan hebat daripada nama-nama besar seperti Bront Palarae dan Sofia Jane, serta penampilan istimewa daripada ramai lagi pelakon berbakat tempatan. Menariknya, dua watak penting — Gibbs dan Farah — yang dahulunya dilakonkan oleh Randy Pangalila dan Mentari de Marelle kini digalas oleh Ben Amir dan Shazia Rozaini.

Walaupun ia merupakan adaptasi dari siri novel dan TV, Nadia menegaskan bahawa Gantung: Musketeer Code mampu berdiri sendiri, malah sesuai ditonton oleh penonton baharu yang belum pernah mengikuti siri atau membaca novel asal.

“Filem ini membawa roh yang sama seperti novel, dengan tema utama tentang persahabatan, kesetiaan dan pilihan hidup. Ia adalah cerminan zaman remaja yang penuh cabaran dan kekeliruan — satu pengalaman yang dekat di hati ramai,” katanya.

Dengan sokongan kuat daripada peminat, komuniti pembaca dan rakan industri, Nadia berharap filem ini akan terus mendapat tempat istimewa di hati penonton dan membuka ruang kepada lebih banyak karya adaptasi novel tempatan diangkat ke skrin besar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button