Politik

Adam Adli anggap komen Rafizi sebagai pandangan peribadi

Wartawan Suara Merdeka

 

MELAKA 27 April – Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim menyifatkan komen
penyandang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai dirinya tidak berpengalaman
sebagai pemimpin organisasi itu sebagai pandangan peribadi beliau.

Menurutnya, soal dia layak atau tidak menjadi ketua yang baharu bukan menjadi persoalan kerana yang paling
penting AMK seharusnya dipimpin oleh setiap anggota parti bernaung di bawah sayap itu.

Tegasnya, jika ditakdirkan dia menang menewaskan seorang lagi calon merebut jawatan tersebut iaitu Fahmi
Zainol, dia berjanji akan tetap bekerjasama dengannya serta semua pihak.

“Bukan kali pertama saya ditanya mengenai layak atau tidak. Ada yang kata, kamu tidak cukup setahun mampu
ker kamu nak pimpin organisasi ini.

“Saya kata kalau saya seorang nak memimpin, memang tak boleh. Saya harap semua anggota bekerjasama dan
kita perlu jaga ukhuwah.

“Kalau saya menang atau Fahmi menang memang kita akan bekerjasama sebab pentingnya untuk kita
memperkukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” ujarnya.

Beliau berucap sebelum pengumuman calon Exco AMK Seangkatan Zon Selatan di Bilik Gerakan Utama, Warung
Reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di sini malam tadi.

Beliau menjawab komen Rafizi antara lain menyebut Fahmi lebih layak menjadi Ketua AMK kerana pengalaman
menguruskan organisasi dan kualiti kepimpinan apabila dipilih sebagai Presiden Majlis Pelajar Universiti
Malaya (UM) sebelum menjadi ketua Pemuda PKR Pulau Pinang.

Adam Adli berkata, pemilihan parti itu pada Mei ini bukan hendak menunjukkan siapa paling kuat sebaliknya
ia lebih kepada memilih pemimpin yang berkebolehan untuk membantu parti selepas kecewa pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang lalu.

Tegasnya, jika pemilihan itu menyebabkan parti berpecah-belah sekali gus boleh menyumbang kepada kekalahan
dalam PRU-15.

“Kita sudah melalui episod yang menguji keutuhan parti apabila tewas di Melaka dan Johor dan pemilihan ini
tidak harus menjadi luka besar buat parti kita,” ujarnya.

Pada majlis itu juga Adam Adli mengumumkan senarai tiga calon daripada Seangkatan dari Zon Selatan yang
akan bertanding sebagai Ahli Majlis Pimpinan AMK Pusat.

Mereka ialah Muhammad Ridhuan Abu Samah (Melaka), Abdul Aziz Shari (Johor) dan Mohamad Fadzrie Amilludin
(Negeri Sembilan).

Terdahulu, Seangkatan telah mengumumkan senarai
19 calon yang bakal bertanding bagi jawatan-jawatan dalam AMK kali ini.

 

(Visited 626 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button