Nasional

Adakah lagi ‘saksi air mata’ hari ini?

Kes perbicaraan Ahmad Zahid: Hari ke-16

KES perbicaraan membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang masuk pada hari ke-16 hari ini akan bersambung dengan keterangan saksi ke-33, Datuk Abdul Aziz Md Nor.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 24 Julai 2012 sehingga 1 Februari 2016.

Abdul Aziz, 62, ketika mengangkat sumpah sebelum memberi keterangan bertulis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam, kini adalah seorang pesara kakitangan awam.

Sebelum Abdul Aziz tampil sebagai saksi semalam, terdahulu, mahkamah memberi laluan rehat sebentar apabila saksi ke-31, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemegang saham terbesar bagi syarikat Datasonic Group Berhad, Datuk Abu Hanifah Noordin menitiskan air matanya sewaktu memberi keterangan semasa disoal balas oleh peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Air mata Abu Hanifah tumpah kerana beliau sedih syarikatnya difitnah dan disabotaj oleh vendor terdahulu dalam isu tender pembekalan cip polycarbonate Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA).

Kesedihan Abu Hanifah tidak tertahan kerana terkenangkan Sarana Kencana Sdn. Bhd. (SKSB), syarikat induk Datasonic yang pada awal penubuhannya bernilai RM20 juta kini bernilai RM2 bilion.

Bagi Abu Hanifah, apa salahnya beliau memberi sumbangan politik yang juga sumbangan amal jariah berjumlah RM6 juta melalui Chew Ben Ben, Timbalan Pengarah Urusan dan penasihat kewangan SKSB kepada Ahmad Zahid melalui Lewis & Co.

Lagipun, jelas Abu Hanifah, suatu ketika dahulu beliau pernah menjadi ahli politik dan pada hematnya, tidak salah baginya membantu kerajaan, tidak kira kerajaan dahulu ataupun kerajaan hari ini.

Berbalik kepada keterangan
saksi ke-33, Datuk Abdul Aziz yang prosidingnya bermula petang semalam, akan bersambung pagi ini di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Semalam Hakim Collin Lawrence memberi amaran kepada galeri awam yang mengikuti prosiding perbicaraan kes Ahmad Zahid supaya menjaga santun ketika berada di dalam mahkamah yang sedang bersidang.

Ini kerana ketika Abdul Aziz membacakan keterangannya, ada yang melucukan menyebabkan mereka yang duduk di galeri awam, tertawa. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button