Berita

Malaysia dipilih duduki kerusi Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa

Bucharestz, Romania: Malaysia diumumkan dipilih menduduki  kerusi Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (International Telecommunication Union, ITU) dalam Persidangan Plenipotentiary 2022 untuk penggal 2023-2026.

Malaysia adalah salah satu negara anggota dari zon Asia dan Australasia yang bersaing merebut 13 tempat mewakili zon berkenaan. Lebih 180 negara seluruh dunia menghadiri sidang ITU.

Delegasi Malaysia dipimpin sendiri oleh Tan Sri Annuar Musa Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Malaysia mendapat 147 undi daripada 180 undi dan menduduki tempat ke 5 teratas.

Annuar dalam kenyataannya memberitahu keputusan yang diumumkan, semasa Persidangan Plenipotentiary 2022 yang bermula dari 26 September hingga 14 Oktober 2022 di Bucharest, Romania ini adalah satu penghormatan dan tanggungjawab kepada Malaysia selaku negara peneraju dalam bidang telekomunikasi dan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.

“Kita mempunyai pemain industri yang berpengaruh di peringkat global dan Kerajaan juga sentiasa komited untuk membentuk hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan negara anggota ITU.

”Kemenangan ini mencerminkan pengiktirafan Malaysia oleh ITU dan negara anggotanya terhadap kerjasama Malaysia dalam bidang telekomunikasi dan ekonomi digital di seluruh dunia.

”Saya optimis pengiktirafan ini mampu memperkukuhkan lagi perkembangan negara dalam bidang Telekomunikasi, dan ekonomi digital selari dengan hasrat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) di samping memelihara kepentingan negara dalam isu-isu global berkaitan jurang digital dan keselamatan siber,” kata Annuar.

Kejayaan ini adalah hasil usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM (K-KOMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  SKMM) serta Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam mendapatkan sokongan di peringkat antarabangsa.

Malaysia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara anggota, rakan strategik serta penyedia rangkaian telekomunikasi di Malaysia.

Malaysia menjadi ahli ITU semenjak tahun 1958 dan kita sentiasa terlibat aktif menyertai pelbagai aktiviti negara anggota. Malah kita juga komited menyokong aspirasi ITU bagi mencipta kesalinghubungan yang lebih baik dan mampu memberi manfaat inovasi digital kepada masyarakat global dan Keluarga Malaysia.

Harapan Malaysia sebagai Ahli Majlis yang bertanggungjawab dan komited adalah untuk terus bekerjasama dengan ITU dan rakan-rakan negara anggota untuk misi mewujudkan masyarakat berinformasi selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari ( Global Goals for Sustainable Development ), kawal selia jalur lebar serta urusan berkaitan keselamatan rangkaian dan perkhidmatan teknologi maklumat serta komunikasi yang menjadi tumpuan pihak Kerajaan dan sektor swasta di peringkat antarabangsa.

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button