NasionalNegeriPolitik

Raja Perlis berkenan sempurna istiadat pelantikan angkat sumpah Menteri Besar baharu

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah berkenan menyempurnakan Majlis Istiadat Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau pada pukul 4 petang ini.

Menurut siaran media dari Istana Arau, di majlis tersebut calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini dianugerahkan tauliah pelantikan daripada Baginda seterusnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Baginda.

Dalam perkembangan lain, pada petang semalam, Raja Perlis diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap secara seorang demi seorang oleh kesemua 14 orang ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) selepas PN berjaya membentuk kerajaan melalui kemenangan 14 daripada 15 kerusi DUN pada PRU15 di Perlis baru-baru ini.

Pada malam sebelumnya Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan menerima mengadap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah mempersembahkan surat cadangan nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu daripada Pengerusi PN untuk pertimbangan dan limpah perkenan Baginda.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan juga Bendahari Agung PN Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. – SM

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button