Politik

Ada kemungkinan undi pecah jika MUDA bertanding di Kedah

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak menolak kemungkinan berlaku pecahan undi jika

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ini kerana menurutnya, pertandingan tiga penjuru atau lebih akan menimbulkan pelbagai persepsi  kepada pengundi berikutan mereka mempunyai banyak pilihan.

“Macam-macam persepsi (timbul) bila lebih daripada dua (penjuru), sampai ke peringkat pelbagai  gambaran yang boleh diberikan dengan apa yang akan berlaku apabila lebih daripada dua penjuru.

“Bagaimanapun di Kedah kita tidak pasti lagi samada mereka akan bertanding atau tidak, setakat ini mereka baru umumkan bertanding di Selangor”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Sumbangan Yayasan Bank Rakyat di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Jelas Mahdzir, pihaknya bagaimanapun bersikap terbuka sekiranya MUDA mahu bertanding di Kedah selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

“Dalam demokrasi ini apa yang boleh dikata kalau orang nak masuk, tak boleh nak halang.

“Sebab dalam demokrasi mana mana parti yang berdaftar sah boleh bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

Semalam media melaporkan MUDA mengumumkan empat calon muka baharu untuk kumpulan pertama bagi menghadapi PRN 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 12 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya MUDA, Loqman Long, berkata Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi diumumkan akan bertanding sebagai calon DUN Seri Serdang (N29), manakala Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen akan bertanding N41 DUN Batu Tiga.

Katanya, MUDA juga menampilkan dua lagi calon wanita iaitu R. Thanusha yang akan bertanding di DUN Sentosa.

Manakala di DUN Bukit Antarabangsa (N19), MUDA menampilkan Melanie Ting Yi Hlin sebagai calon di kawasan berkenaan.

Loqman berkata, pengumuman calon MUDA yang lain akan diumumkan dalam masa terdekat. – SM 

Artikel berkaitan > PH perlu berbaik dengan Muda

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button