Negeri

Raja Muda Perlis berkenan sertai kayuhan sempena Hari Kanser Sedunia

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai aktiviti berbasikal ‘Hari Kanser Sedunia’ yang disambut pada 4 Februari setiap tahun dalam program ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pada petang semalam.

Program tersebut yang disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli Bilangan Ke-10 bagi tahun 2022 bertemakan ‘Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser’ bertujuan untuk mengenalpasti ketidaksamarataan (inequality) dan jurang (gap) yang wujud dalam penjagaan kesihatan kanser di seluruh dunia dan seterusnya mewujudkan ekuiti dalam menyediakan perkhidmatan yang diperlukan secara saksama dalam penjagaan kanser. Hal ini adalah penting agar pesakit kanser dapat menikmati peluang yang sama untuk mendapatkan rawatan di mana jua mereka berada serta dapat menikmati kesihatan yang optimum.

Sempena program tersebut juga, tiga buah rumah asnaf disantuni dan disampaikan agihan zakat MAIPs oleh Tuanku Raja Muda yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor. Mereka adalah Risnita Elias 60, Rasanah Abdul 70 dan Azizah Din 75. Turut disinggahi ialah ‘Mirnaz Roomstay’ di Lot 2355, Kampung Masjid, Batu 3 3/4 Jalan Kaki Bukit, Kangar yang baru mula beroperasi dengan konsep penginapan yang menarik di tengah-tengah kawasan sawah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim berkongsi maklumat bahawa menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada satu pertiga daripada kes kanser boleh dicegah, satu pertiga lagi boleh diubati jika dikesan awal dan dirawat dengan segera dan satu pertiga lagi adalah kualiti hidup dapat dipertingkatkan dengan rawatan paliatif. Tambah beliau, ‘Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Perlis (Perlis Cancer Registry Report 2020), kanser utama dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal, diikuti oleh kanser paru-paru dan seterusnya kanser prostat. Bagi wanita pula, kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi diikuti oleh kanser kolorektal dan kanser serviks’.

Beliau menjelaskan bahawa pencegahan boleh dilakukan melalui beberapa cara. Antaranya adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Amalan pemakanan yang sihat, mengekalkan berat badan yang optimum dan aktif secara fizikal, memberi seseorang itu peluang terbaik untuk mencegah dan mengurangkan risiko berlakunya kanser.

‘Berhentilah merokok melalui Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok atau layari www.jomquit.com. Pengambilan rokok atau tembakau menyebabkan 8 juta kematian setiap tahun dan menyebabkan sekurang-kurangnya 25% daripada semua kematian akibat kanser’ jelas beliau.

Dr Sirajuddin juga meminta dilakukan ujian Saringan Kanser Kolorektal menggunakan iFOBT (Immunological Feacal Occult Blood Test) bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas.

Kepada golongan wanita pula beliau menasihatkan supaya melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara atau ‘Breast Self Examination’ yang betul sekurang-kurangnya sebulan sekali, melakukan Ujian Saringan Pap Smear atau HPV/DNA bagi semua wanita yang pernah dan masih aktif secara seksual serta menyokong Program Imunisasi HPV Kebangsaan bagi suntikan vaksinasi HPV kepada semua warganegara perempuan yang berusia 13 tahun dan layak mendapat suntikan.

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button