Auto TravelBerita Auto

BMW Malaysia memperkenalkan jentera BMW 740Le xDrive M Sport baharu

BMW Malaysia memperkenalkan BMW 740Le xDrive M Sport baharu, ia merupakan sabuah lagi model sedan berprestij milik BMW yang melambangkan kemewahan dengan sentuhan elektrik.

BMW 740Le xDrive M Sport baharu tampil dengan wajah yang berbeza di samping salur masuk udara yang lebih besar, disempurnakan oleh pendakap berbentuk C. Apron hadapan yang serba elegan membawakan gril ‘kidney’ ikonik oleh BMW, termasuk BMW Laser Light dengan ciri bantuan lampu puncak, dan dipadankan dengan gubahan yang meminimumkan geseran.

Hadir dengan M Sport Aerodynamic Package, BMW 740Le xDrive M Sport baharu dihiasi Shadow Line berglos tinggi yang menyerlahkan profil sedan mewah ini yang serba rapi. Panel ‘rocker’ yang menarik juga mempamerkan sentuhan yang sporty pada BMW 740Le xDrive M Sport.

Turut menjadi tumpuan pada eksterior sedan mewah yang baharu ini ialah set roda aloi ringan M 19” dalam penggayaan dwiruji 647 M dwiwarna dengan tayar bercampur serta tayar ‘run-flat’, lengkap dengan brek M Sport. BMW 740Le xDrive M Sport baharu juga menampilkan bumbung kaca panorama, Sky Lounge.

Enjin petrol enam silinder dengan kapasiti tiga liter ialah nadi BMW 740Le xDrive M Sport, ia mampu menjana kuasa maksimum berjumlah 210 kW/286 kk (kuasa kuda) pada paras 5,000 – 6,000 rpm, serta puncak tork bernilai 450 Nm pada paras 1,550 – 3,500 rpm. Ia juga dikuasakan oleh bateri ion litium dengan teknologi sel bateri tercanggih dan kapasiti storan yang dinaik taraf, membolehkan BMW 740Le xDrive M Sport baharu mencapai 83 kW/113 kk, dan puncak tork 265 Nm melalui motor elektriknya.

Sedan mewah baharu ini mampu membuat pecutan 0-100km/j dalam masa 5.1 saat sahaja. Dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j, kuasa gabungan maksimum BMW 740Le xDrive M Sport ialah 290 kW/394 kk, dengan tork gabungan maksimumnya mampu mencapai 600 Nm.

Penggunaan bahan api gabungan jentera ini merekodkan 2.8 liter bagi setiap 100 km, manakala emisi karbon gabungannya berkadar 65 g/km. Kuasa yang luar biasa ini disalurkan kepada BMW 740Le xDrive M Sport melalui transmisi Steptronic lapan kelajuan.

Di dalam sedan mewah ini, trim ‘Fineline’ Fine Wood dalam warna hitam dengan kesan rekaan logam berglos tinggi menawarkan suasana yang elegan pada ruang dalamanya, lengkap dengan material bumbung BMW Individual Alcantara Anthracite.

Di ruang kokpit pula, stereng M Sport serta kerusi ‘Comfort’ yang boleh dilaras secara elektrik dan turut hadir dengan fungsi memori bagi tempat duduk hadapan tersedia untuk pemandu.

Pencahayaan ambien dan penyaman udara automatik dengan 4 zon kawalan memperkayakan lagi aspek keselesaan BMW 740Le xDrive M Sport baharu, berserta dengan tirai gulung bagi tingkap sisi di belakang, fungsi penutup pintu ‘soft-close’, dan sistem Comfort Access untuk operasi pintu but yang memudahkan.

Fungsi navigasi dan maklumat hibur di dalam BMW 740Le xDrive M Sport baharu hadir dalam bentuk BMW Live Cockpit Professional dengan Paparan Instrumen digital bersaiz 12.3 inci, berserta BMW Navigation System Professional dengan Paparan Kawalan 10.25 inci. Didatangkan dengan Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control) serta Papar Pandu BMW (BMW Head-Up Display) di hadapan.

Di samping Entertainment Professional di tempat duduk belakang dengan monitor sentuh bersaiz 10 inci, penumpang di tempat duduk belakang sedan mewah ini juga dapat menikmati taraf hiburan yang berkualiti tinggi.

Ciri bantuan digital pula ditawarkan melalui Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus dan Connected Package Professional. Antara tarikan lain yang melengkapi sedan mewah baharu ini meliputi kemudahan pengecasan tanpa wayar untuk telefon bimbit, Kunci Paparan BMW (BMW Display Key), dan sistem bunyi keliling dengan 16 pembesar suara oleh Harman Kardon.

BMW 740Le xDrive M Sport baharu didatangkan dengan empat warna klasik – Mineral White, Carbon Black Metallic, Donington Grey, dan Bernina Grey dengan efek Amber. Tawaran warna eksterior ini boleh dipadankan dengan upholsteri Leather Nappa yang eksklusif dengan sulaman bertema Black atau Cognac.

BMW 740Le xDrive M Sport baharu bakal disediakan di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai 8 Mei 2021. Manakala para pelanggan boleh membuat pra-tempahan untuk memiliki BMW 740Le xDrive M Sport baharu dengan bayaran RM 5,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ mulai 11 Mei 2021 sahaja.

Program pembiayaan dinamik. 

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 740Le xDrive M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 6,558.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik jentera BMW 740Le xDrive M Sport baharu ini juga dapat merasai Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Pemilik sedan mewah baharu ini juga boleh memuat turun aplikasi My BMW App yang baharu untuk menikmati pengalaman pemilikan premium secara digital yang lebih diperibadikan. My BMW App hadir dengan penampilan baharu yang serba intuitif, ia menawarkan pengalaman kepenggunaan yang ringkas serta perkhidmatan yang mampu mendukung mobiliti elektro berindividu ke aras yang lebih tinggi di Malaysia.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) tanpa Cukai Jualan dan Perkhidmatan bagi BMW 740Le xDrive M Sport baharu adalah RM 591,503.05

 

Kredit :EnjinDot.Com

 

(Visited 446 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button