BeritaPendidikan

Rujuk Nota Panduan MQA atasi masalah PdP

Semua institusi pengajian tinggi (IPT) digesa menjadikan Nota Panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai panduan pengendalian program pendidikan tinggi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan Nota Panduan yang dikeluarkan pada 8  Februari lalu, Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) diberikan fleksibiliti untuk mengendalikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian.

Katanya, PPT perlu menyediakan pelan tindakan mengikut kesesuaian keperluan pengajaran dengan mengambil kira keadaan semasa dan pelbagai kaedah pembelajaran dalam talian diperkenal dan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian kursus-kursus yang ditawarkan.

“Bagi kursus atau komponen pembelajaran yang memerlukan pelaksanaan secara bersemuka dan tidak dapat diganti melalui kaedah pembelajaran dalam talian, boleh dianjakkan ke minggu pembelajaran atau semester akan datang atau setelah PPT merangka kaedah pembelajaran dalam talian yang bersesuaian.

“PPT juga boleh mengadakan inisiatif melaksanakan program berdasarkan jadual anjal termasuk melanjutkan aktiviti-aktiviti pentaksiran dan penilaian secara berterusan, malah KPT sedang melaksanakan satu kajian terhadap keberkesanan PdP dalam talian dan penambahbaikan yang memberi kesan yang baik untuk semua pihak,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut, KPT prihatin dengan kekangan dan kesukaran yang dihadapi pelajar dan tenaga pengajar dalam melaksanakan PdP sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini.

Katanya, KPT sentiasa mengambil berat dan memandang serius terhadap pelaksanaan PdP secara dalam talian dan penambahbaikkan proses pembelajaran ini.

“KPT dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) turut dalam proses membangun satu modul Kesihatan Mental Pelajar IPT bagi menangani tekanan, kemurungan dan kebimbangan.

“KPT berharap dengan adanya modul ini nanti, ia boleh digunakan sebagai garis panduan kepada pegawai di IPT bagi menangani kes kesihatan mental di universiti yang melibatkan mahasiswa.

Mengulas lanjut, bagi pelajar yang menghadapi sebarang masalah, pihak IPT menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kaunseling kepada mahasiswa melibatkan lebih 150 kaunselor dan pakar psikologi yang disediakan menerusi talian hotline dan secara dalam  talian mengambil kira faktor kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, pelbagai program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling; Program pengurusan Stres dan Emosi semasa PKP; Pengurusan Kesihatan Mental Diri dan sebagainya.

“Pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan kaunseling yang disediakan IPT, boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak KPT mengucapkan takziah kepada keluarga Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kedah dan Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang yang meninggal dunia baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

 

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button