
Acer Melancarkan Cincin Pintar Tersendiri Dikenali Sebagai FreeSense Ring
Acer telah memperkenalkan FreeSense Ring di COMPUTEX 2025 sebagai produk pertama mereka dalam kategori cincin pintar. Peranti ini direka khusus untuk menjejak kesihatan secara berterusan, serta memberikan pengguna maklumat mendalam mengenai tahap kesihatan tanpa sebarang langganan tambahan.
Cincin ini diperbuat daripada aloi titanium ringan dengan salutan vakum bagi meningkatkan ketahanan. Ia hadir dalam dua warna, iaitu rose gold dengan kemasan matte dan hitam dengan kemasan berkilat. Beratnya hanya 2 hingga 3 gram bergantung pada saiz yang tersedia dari 7 hingga 13. Selain itu, ia mempunyai penarafan IP68 dan 5 ATM yang menjadikannya tahan air dan sesuai untuk penggunaan harian termasuk semasa berenang.

Dari segi kesihatan, FreeSense Ring boleh memantau kadar denyutan jantung, HRV, tahap oksigen dalam darah (SpO2), serta pola waktu tidur. Data yang dikumpul akan dianalisis dalam aplikasi khusus yang menggunakan AI untuk memberikan cadangan kesihatan dan membantu pengguna memahami keadaan kesihatan mereka. Semua ciri ini boleh diakses tanpa bayaran tambahan.
Tidak seperti jam tangan pintar, FreeSense Ring hanya memfokuskan pada penjejakan biometrik serta memberikan cadangan kesihatan yang mudah difahami. Bagaimanapun, Acer masih belum mendedahkan butiran mengenai jangka hayat bateri, harga rasmi, serta ketersediaan produk ini.
Sumber : Amanz