Politik

Isu calon PM: Anwar Ibrahim akan bincang dengan Shafie Apdal

Usaha mengembalikan mandat rakyat oleh Anwar Ibrahim

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai usaha pengembalian mandat rakyat.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan itu berkata, mandat telah diberikan kepada Anwar untuk mendapatkan sokongan semua pihak termasuk Presiden Parti Warisan Sabah itu.

Menurut kenyataan yang ditandatangani Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu lagi, Majlis Presiden masih komited dengan pendirian asal bahawa Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri.

“Majlis Presiden telah membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal YB DS Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan YB DS Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada YB DS Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB DS Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” kata kenyataan Majlis Presiden lagi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan telah bersetuju agar Mohd. Shafie dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dengan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Tetapi DAP dan Amanah kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan itu harus dibincang di peringkat kepimpinan parti masing-masing sebelum dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie kemudiannya berkata bahawa beliau akan memikirkan dahulu soal pencalonan sebagai Perdana Menteri seperti mana yang dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir dan pada masa yang sama, Mohd. Shafie mengakui bahawa beliau ingin menumpukan kepada isu rakyatnya, rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Majlis Presiden turut memaklumkan, mereka sebulat suara menolak usul Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menamatkan perkhidmatan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Selain itu, Majlis Presiden turut berkata, jika Pilihan Raya Umum (PRU) tergempar bakal berlaku maka kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan wajar diteruskan. – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button