MahkamahNasional

Lelaki didakwa buat hantaran ancam doktor berkait vaksin Covid-19

SEORANG pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang mengancam beberapa doktor berhubung pengambilan vaksin Covid-19 melalui platform media sosial Facebook, Januari lalu.

Norhakim Nordin, 39, selaku orang kena saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks yang bersifat mengancam dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dengan menggunakan aplikasi Facebook “Hakim Nordin” pada pukul 11.12 malam, 22 Januari lalu.

Hantaran itu kemudian dibaca di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 4 petang, 24 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Nur Nazhzilah Mohammad Hashim menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Manakala OKS yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah memandangkan dia hanya berpendapatan RM2,000 dan perlu menanggung isteri serta dua anak.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 15 Februari tahun depan. – SUMBER FMT – SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button