Mahkamah

Abdul Azeez mohon batal 12 pertuduhan rasuah RM5.2 juta

9 pertuduhan pengubahan wang haram RM140 juta

DATUK Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk membatalkan 12 pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu membuat  permohonan melalui Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakilinya dengan memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas (11 Disember).

“Alasan permohonan untuk membatalkan pertuduhan dikemukakan dalam afidavit tertuduh pertama (Azeez).

“Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes berhubung permohonan itu pada 23 Dis ini, jadi kami mohon perbicaraan kes hari ini ditangguhkan,” katanya pada prosiding perbicaraan kes Azeez dan abangnya, Abdul Latif (tertuduh kedua), 62, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Adam Mohamed berkata, pihaknya menerima notis permohonan itu baru-baru ini dan tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini.

Azura berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana tertuduh dalam kes itu untuk membuat sebarang permohonan.

“Bagaimanapun perbicaraan diteruskan kerana tiada perintah daripada mahkamah lain untuk menggantung prosiding itu,” katanya.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan saksi kelima pendakwaan, pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Azrin Abdul Razak, daripada Ibu Pejabat JPJ Putrajaya, membaca pernyataan saksi.

Azrin, 46, memberitahu mahkamah, beliau menerima permohonan daripada penguasa Bahagian Siasatan SPRM, Muhammad Afnan Abdullah untuk mendapatkan maklumat tentang kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih milik Azeez bagi membantu siasatan.

“Setelah pihak kami menerima surat ini, saya membuat semakan dan carian berkaitan nombor pendaftaran milik Azeez. Maklumat itu saya berikan kepada Afnan,” katanya.

Saksi itu juga mengesahkan cetakan maklumat JPJ bertajuk “Maklumat Terperinci Kenderaan dan Insurans” atas penama Abdul Azeez bertarikh 24 April 2019 semasa dirujuk Adam.

Azeez yang juga merupakan Ahli Parlimen Baling, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Latif dituduh bersubahat dengan Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Redzuan sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Mahkamah menetapkan sambung bicara pada 8 Februari tahun depan. – SM

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button